ColorOS 14 Versi Global Rasmi - Ini Antara Ciri Baharu Dan Telefon Yang Terima

OPPO hari ini mengumumkan pelancaran rasmi ColorOS 14 versi global.

ColorOS 14 merupakan sistem operasi yang berasaskan Android 14, dengan menampilkan Reka Bentuk Aquamorphic yang dioptimumkan, ciri pintar yang dikuasakan oleh AI, prestasi lebih lancar serta ciri keselamatan dan privasi yang dipertingkat.

Berikut merupakan antara ciri baharu serta garis masa ketersediaan ColorOS 14 versi global untuk peranti OPPO.

Reka Bentuk Aquamorphic dioptimum


Mula diperkenal dalam ColosOS 13, Reka Bentuk Aquamorphic kini dioptimumkan dalam ColorOS 14. Antaranya termasuk kesan bunyi baharu, sistem warna, interaksi dan banyak lagi.



ColorOS 14 menampilkan sistem Pewarna Aquamorphic yang dipertingkat, di mana ia boleh disesuaikan dengan status, masa dan kandungan pada skrin telefon pintar.



Selain itu, OPPO turut memperbaharui rekaan Aqua Dynamics, yang mana ia diintegrasi dengan ciri seakan Dynamic Island pada iPhone 14.

Go, Green


OPPO memperkenal 5 ciri animasi baharu untuk Always-On Display (AOD).



Ciri ini dinamakan sebagai "Go Green AOD" dengan animasi yang direka untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar.

Trinity Engine




Trinity Engine dalam ColorOS 14 meningkatkan kelancaran dan kestabilan telefon pintar dengan mengurus sumber pengkomputeran, memori dan storan dengan cekap. Tiga ciri utama Enjin Trinity termasuk ROM Vitalization, RAM Vitalization dan CPU Vitalization.

Sebagai tambahan, ColorOS 14 juga menampilkan Pengecasan Pintar, merupakan algoritma AI yang boleh melaraskan arus pengecasan secara automatik berdasarkan status penggunaan telefon pintar.

Keselamatan dan Privasi


ColorOS 14 menggabungkan keupayaan privasi Android 14 dan memperkenal ciri baharu, iaitu Picture Keeper.



Ciri ini direka untuk menghalang aplikasi daripada menyalahgunakan kebenaran untuk foto atau video peribadi pengguna. Aplikasi perlu mendapatkan kebenaran untuk mengakses foto atau video setiap kali pengguna membenarkan pengurusan kebenaran baharu.

Ciri Pintar dikuasakan AI


File Dock baharu pada Smart Sidebar membolehkan pengguna berkongsi kandungan merentasi aplikasi dengan lebih mudah melalui split skrin, tetingkap terapung atau Dock.

Kandungan boleh disimpan secara automatik dalam File Dock dan boleh diselaraskan merentas peranti berbeza seperti telefon pintar dan tablet.



Selain itu, terdapat ciri Smart Image Matting yang membolehkan pengguna memotong berbilang subjek seperti orang dan haiwan dalam satu imej atau video. Pengguna boleh menyunting potongan dalam File Pocket, File Dock dan mod split skrin.

Ketersediaan ColorOS 14


Bermula Oktober, ColorOS 14 Global versi Beta telah mula tersedia di beberapa negara terpilih. Sementara OPPO Find N2 akan menjadi yang pertama menerima ColorOS 14 versi Stabil pada pertengahan November.

Rujuk gambar di bawah untuk mengetahui senarai peranti yang menerima ColorOS 14 Global versi Beta.



Perlu juga diketahui, versi Beta ini dilancarkan secara berperingkat dan hanya tersedia untuk negara terpilih.

Sumber: OPPO