OPPO mula masuk ke dalam arena segmen telefon boleh lipat pada penghujung 2021 dan saya juga berkesempatan untuk mengujinya menerusi OPPO Find N generasi pertama.
Kemudian, OPPO kelihatan lebih rancak pada tahun ini yang mana awal tahun 2023 mereka membawa masuk Find N2 dan Find N2 Flip. Kini, belum cukup setahun, mereka seolah-olah ghairah untuk mengeluarkan generasi ketiga menerusi Find N3 dan Find N3 Flip.
Tolak tepi soal keghairahan OPPO yang mengeluarkan dua siri peranti boleh lipat dalam tahun yang sama kerana apa yang dilakukan OPPO itu saya puji.
Jika pada model OPPO Find N2 dahulu, saya memuji akan kemampuan OPPO dalam meminimumkan garis lipatan (crease). Kali ini, OPPO sekali lagi mampu membuatkan saya kagum akan apa yang dicuba dilakukan mereka.
Peranti yang saya maksudkan adalah OPPO Find N3 Flip. Sebelum anda bergerak lebih mendalam, saya akan memfokuskan beberapa aspek utama dalam peranti tersebut, iaitu kemampuan fotografinya serta fungsi yang ada pada skrin luarnya atau cover screen.
{suggest}
Spesifikasi
Cip – MediaTek Dimensity 9200
Skrin Luar – 3.26″ AMOLED, 382×720
Skrin Dalam – 6.8″ LTPO OLED, 1080×2520, 120Hz, HDR10+
Memori – 12GB LPDDR5
Storan – 256GB UFS 3.1
Kamera Utama – 50MP lebar, 48MP ultra lebar, 32MP telefoto
Kamera Swafoto – 32MP
Bateri – 4300mAh, pengecasan 44W berwayar
Lain-lain – kalis air IPX4, dwi SIM nano, eSIM
Rekaan
Dalam segmen audio siar (ngeteh) episod 9 kami baru-baru ini, saya ada mengatakan yang kebanyakan telefon pintar terbaru untuk tahun ini dan mungkin beberapa tahun mendatang, kita tidak akan dapat melihat perubahan yang besar dari segi rekaan.
Apa yang saya boleh katakan, ia adalah salah satu strategi sesebuah jenama untuk memberitahu pengguna “inilah rekaan ikonik kami”. Kalau ada perubahan sekalipun, hanyalah sedikit.
Sama juga situasinya untuk Find N3 Flip. Rupanya saling tak tumpah dengan Find N2 Flip. Nampak sama sahaja. Sebelum itu, suka untuk saya ingatkan kepada anda, Find N3 Flip merupakan telefon jenis clamshell generasi kedua daripada OPPO meskipun namanya sudah “3”.
Berbalik pada rekaan, Find N3 Flip masih mengekalkan identiti Find N2 Flip. Namun, tubuhnya kali ini lebih melengkung atau sedikit bulat (rounded).
Melaluinya, ia jauh lebih sedap digenggam pada tangan berbanding sebelum ini yang ia sedikit rata. Ironinya, jenama gergasi lain pun sebenarnya sudah melakukan perkara sama.
Google menerusi siri Pixel 8 dan Apple menerusi siri iPhone 15. Sisinya tidaklah terlalu rata yang mungkin membuatkan tangan kita sedikit lenguh atau sakit kerana “tajam”.
Pada sisi peranti, masih lagi sama tetapi ia mempunyai kehadiran butang baharu, iaitu alert slider. Bagi anda yang sebelum ini pernah menggunakan siri OnePlus, anda pasti tahu fungsinya.
Fungsi itu sebenarnya ibarat yang ada pada siri iPhone terdahulu (mute button). Ia membolehkan kita untuk meletakkan peranti dalam mod silent, vibrate dan ring.
Saya tidak pasti adakah perkara ini langkah yang betul daripada OPPO. Kalau pada saya, tidak ada butang ini pun tidak mengapa.
Pada bahagian hadapan pula, terletaknya modul kamera berbentuk bulat yang mana di dalam dilengkapi tiga kamera dengan kolaborasi Hasselblad. Perincian berkaitan kemampuan kamera saya akan jelaskan pada bahagian kamera nanti.
Sebelahnya, terletak pula cover screen. Saiz hampir sama dengan Find N2 Flip tetapi ia lebih banyak fungsi. Ini juga saya akan terangkan lebih lanjut dalam bahagian skrin.
Skrin
OPPO mendakwa yang engsel pada peranti Find N3 Flip ini adalah terbaik dalam pasaran. Betul ke? Apa yang saya boleh katakan, ya.
Mereka menggunakan rekaan waterdrop untuk engsel peranti. Hasilnya, memang betul-betul dapat meminimumkan kesan garis lipatan atau crease.
Bukanlah crease itu tidak nampak langsung tapi pada kebanyakan masa, ia sukar dilihat dari mata kasar.
Biarpun saya sudah buka tutup peranti banyak kali, kesannya masih sukar dilihat kecuali kalau anda benar-benar mencarinya.
Ia sebenarnya lebih baik daripada apa yang kita nampak dalam barisan telefon boleh lipat Samsung meskipun sudah memasuki generasi kelima.
Malah, Find N3 Flip juga kekal seperti Find N2 Flip di mana menggunakan rekaan gapless. Maknanya, kita tidak nampak ruang apabila telefon dilipat.
Untuk skrin dalam, tampak seperti terdahulu. Saya memang tidak ada sebarang masalah dengan paparan yang dihasilkan. Sudah cukup puas untuk menikmati kandungan media sosial mahupun penstriman video.
Bagaimanapun, tumpuan utama adalah skrin luarnya atau cover screen. Seperti yang saya kata pada awal-awal tadi, skrin luaran OPPO Find N3 Flip jauh lebih berfungsi berbanding Find N2 Flip.
Saya kira, pelancaran Motorola Razr 40 Ultra dan Samsung Galaxy Z Flip5 membuatkan OPPO tidak boleh duduk diam.
Sebenarnya, Find N2 Flip dengan skrin luar lebih besar sudah cukup baik dan isyarat buat jenama lain. Akan tetapi, mereka silap untuk tidak menawarkan lebih banyak fungsi sewaktu pengenalannya. Atau mungkin memang disengajakan?
Skrin luar Find N3 Flip kini hadir dengan cover screen wallpaper interaktif yang digelar Interactive Pets. Apabila kita tekan pada skrin, ia akan bergerak-gerak mengikut beberapa animasi terbina.
Selain itu, boleh juga menukar lock screen dengan tekan lama-lama dan kemudian leretkan ke kiri atau ke kanan untuk menukarnya. Ya, sama yang kita lihat pada peranti iPhone atau iPad.
Tambahan lagi, widget seperti kamera, cuaca, Gmail, maps dan lain-lain juga boleh disertakan sekali bersama-sama lock screen dipilih. Namun, widget yang ditawarkan masih lagi terhad dan bagi saya Samsung punya jauh lebih kehadapan kerana Galaxy Z Flip5 ada ciri multi widget view.
Beralih kepada fungsi terbaru dalam cover screen Find N3 Flip adalah aplikasi mini. Secara asasnya, ia mirip yang ditawarkan Samsung Galaxy Z Flip5.
Pada awalnya, aplikasi mini itu terhad tetapi selepas saya menggunakannya beberapa hari, sudah makin banyak ditawarkan dan OPPO mengatakan lebih 80 aplikasi menyokong untuk paparan ini.
Sebagai tambahan, aplikasi pelayar (browser) juga tiada. Kalau ada, mungkin lagi kerap saya guna cover screen ini.
Setakat penggunaan saya dengan aplikasi mini pada cover screen, saya rasa okay sahaja dan tiada masalah sangat.
Namun, ia menjadi sukar ketika mana saya mahu menggunakan papan kekunci. Mungkin disebabkan jari saya yang besar, agak susah untuk saya tekan kekuncinya. Perkara ini menyenangkan saya untuk typo.
Akan tetapi, benda ini subjektif dan mungkin anda tidak ada sebarang masalah dan selesa menggunakannya.
Antara kekurangan lain adalah apabila saya guna aplikasi TikTok misalnya pada skrin dalam, saya tidak dapat sambung menontonnya secara terus apabila tutup untuk guna di skrin luarnya.
Maknanya, saya perlu buka aplikasi TikTok semula jika saya mahu sambung menontonnya. Bagaimanapun, sebaliknya berlaku jika saya tonton TikTok terlebih dahulu pada cover screen dan kemudian apabila saya membuka telefon, saya boleh sambung menonton.
Apa-apa pun, mungkin masalah ini bukanlah besar tetapi bagi saya jika ditawarkan, lebih baik. Ini kerana, sewaktu saya menggunakan siri Find N (jenis fold), saya boleh berbuat demikian.
Kamera
Selain daripada cover screen, tumpuan utama Find N3 Flip semestinya 3 kamera yang juga dilengkapi warna Hasselblad.
Secara jujurnya, sejak saya menggunakan OPPO Find X5 Pro lagi, saya menggemari kolaborasi OPPO dan Hasselblad.
Warna yang dipaparkan cukup baik dan masih lagi jelas. Ketiga-tiga lensa dapat memberikan hasil gambar seperti mana yang saya inginkan. Malah, saya boleh katakanya ia memang social media ready. Ambil gambar, boleh terus muat naik ke akaun media sosial. Tak perlu lagi buat suntingan.
Pun begitu, kamera telefoto 5x agak mengecewakan. Saya menjangkakan kualitinya baik tetapi hasilnya kurang memberangsangkan. Tidak mencapai jangkaan saya. Tapi tidak bermakna ia teruk, masih lagi baik pada situasi tertentu.
Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Teramat banyak hingar apabila menggunakan lensa 5x. Namun, gambar malam daripada lensa 50MP utama, memang tak ada masalah dan cantik serta seperti yang saya jangkakan.
Tambahan lagi, saya pun merindui cip MariSilicon X yang ada pada peranti OPPO terdahulu kerana ia memang membantu dalam sistem fotografi OPPO.
Tidak mengapa, computational photography OPPO masih lagi mempunyai “Pro XDR”. Benda ini saya lihat ia memfokuskan pada highlight gambar. Maknanya, inilah gambar yang OPPO mahu kita dapat.
Satu lagi, ciri yang saya minat dalam Find N3 Flip ini adalah mod XPan. Ia akan menghasilkan gambar bernisbah 65:24. Untuk mod ini, saya gemar menggunakan mod hitam putih.
Akhir sekali, untuk gambar swafoto, saya lebih banyak menggunakan menerusi cover screen sebabnya kita menggunakan kamera utama berbanding kamera 32MP yang ada di dalam skrin.
Prestasi
Tidak banyak saya perlu katakan dalam bahagian ini kerana semua sudah tahu akan kemampuan cip Dimensity 9200.
Penggunaan ColorOS 13.2 pun lancar dan ini adalah salah satu antara muka terbaik dalam Android. Namun, kehadiran bloatware dalam peranti OPPO ini memang tak dapat dielakkan. Nak tak nak, kita kena hadap juga.
Sistem pembesar stereo juga masih lagi sedap dan memberangsangkan. Lebih-lebih lagi ia menyokong Dolby Atmos.
Seperkara lagi yang saya nak tekankan, semestinya bateri 4300mAh yang cukup besar. Ia adalah telefon jenis clamshell yang ada bateri paling besar.
Jadi, penggunaan seharian memang tiada masalah. Walaupun saya menggunakan hotspot dalam jangka masa sekitar satu jam lebih, saya masih mempunyai baki bateri mencukupi sehingga malam.
Masa untuk mengecas pun tidak lama kerana ia menyokong pengecasan 44W. Namun, seperti peranti OPPO lain, anda perlu menggunakan kabel serta pengecas yang disertakan dalam kotak untuk menikmati kelajuan mengecas tersebut.
Bagaimanapun, Find N3 Flip tidak menyokong pengecasan wayarles.
Akhir sekali, telefon ini juga mempunyai penarafan percikan air IPX4. Tapi jangan salah faham, penarafan ini tidak membolehkan anda merendam peranti ke dalam air, seperti mana yang kita lihat dalam barisan telefon Samsung.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, OPPO Find N3 flip mempunyai pakej lengkap dalam sesebuah peranti boleh lipat. Ia bukan sahaja mempunyai prestasi andalan (flagship), kameranya juga cukup setanding dengan peranti andalan mereka yang lain.
Find N3 Flip sebenarnya adalah naik taraf yang diinginkan bagi penggemar telefon “flip”. Rekaan menarik, 3 kamera cantik, perisian yang baik, crease yang minimum dan prestasi bateri mengagumkan.
Bagaimanapun, OPPO perlu memperbaiki dan menambah baik fungsi pada cover screen. Selain itu, prestasi lensa telefoto juga harus ditambah baik jika OPPO benar-benar mahu memfokuskan kamera dalam segmen peranti boleh lipat.
Jadi, berbaloi ke tidak untuk membeli Find N3 Flip?
Apa yang saya boleh katakan, kalau anda mahu berjinak-jinak dengan telefon jenis clamshell, Find N3 Flip memang secukup rasa. Baik dengan prestasinya dan juga harga ditawarkan. Terutama kalau anda gemar bermain dengan kamera.
Sekiranya anda mahu perisian lebih kemas, cover screen luar lebih besar, Samsung Galaxy Z Flip5 boleh dipertimbangkan.
Ini kerana, soal harga tidak banyak beza. Galaxy Flip5 (8+512GB) boleh dibeli serendah RM4499 di laman rasmi Samsung. Manakala, Find N3 Flip (12+256) berharga RM4399. Tetapi ketika artikel ini ditulis, Find N3 Flip boleh dibeli dengan harga serendah RM4199 sahaja.
Pilihan di tangan anda kerana kedua-dua peranti tersebut tetap terbaik buat masa sekarang.
Beli OPPO Find N3 Flip di:
Shopee – https://invl.io/clk387u
Lazada – https://invol.co/clk387w