Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Anthropic Claude Fable 5.1 x Mythos 5.1

Claude Fable 5.1 Dilancarkan, Kos Penggunaan Turun Sehingga 45% Untuk Tugasan Berasaskan Ejen AI

Diterbitkan September 2, 2026 ยท Dikemas kini September 2, 2026 oleh Amalina Athman

Anthropic kini melancarkan Claude Fable 5.1 dan Claude Mythos 5.1, versi baharu model AI paling canggih syarikat itu yang dibangunkan untuk pengekodan, kerja berasaskan pengetahuan dan tugasan kompleks yang memerlukan masa lebih panjang.

Menurut Anthropic, Fable 5.1 mampu menawarkan prestasi yang sama atau lebih baik daripada Fable 5 apabila ditetapkan pada tahap usaha rendah atau sederhana, tetapi dengan kos yang jauh lebih rendah. Dalam beberapa penanda aras, termasuk Terminal-Bench-Science 0.1 dan Terminal-Bench 4.0, Fable 5.1 turut mencatat skor lebih tinggi berbanding Fable 5, Opus 5 dan GPT-5.6 Sol.

Claude Fable 5.1_

Antara perubahan utama kali ini ialah kos penggunaan. Harga Fable 5.1 kekal pada AS$10 (~RM40) bagi setiap sejuta token input dan AS$50 (~RM202) bagi setiap sejuta token output, sama seperti Fable 5. Namun, kos cache reads, iaitu penggunaan semula konteks yang telah diproses sebelum ini, dikurangkan sebanyak 75% kepada AS$0.25 (~RM1) bagi setiap sejuta token.

Menurut Anthropic, perubahan ini menjadikan kos penggunaan sekitar 25% lebih rendah untuk beban kerja biasa, manakala penjimatan boleh mencapai kira-kira 45% bagi tugasan kompleks dan sangat bergantung pada ejen AI.

Claude Fable 5.1 Dilancarkan, Kos Penggunaan Turun Sehingga 45% Untuk Tugasan Berasaskan Ejen AI

Dari segi keselamatan, Anthropic turut menambah baik sistem perlindungan Fable 5.1 bagi mengurangkan false positive, iaitu apabila sistem menandakan permintaan yang sebenarnya tidak berbahaya.

Bagi tugasan keselamatan siber, sistem baharu ini menghalang 60% lebih sedikit false positive berbanding sebelum ini. Fable 5.1 juga kini boleh digunakan untuk mengenal pasti kerentanan dalam perisian, tetapi tidak untuk menghasilkan eksploit bagi kerentanan tersebut.

Fable 5.1 dan Mythos 5.1 sebenarnya menggunakan model asas yang sama, tetapi dengan perlindungan berbeza. Fable 5.1 tersedia kepada pengguna umum dengan perlindungan yang mengehadkan tugasan berisiko, manakala Mythos 5.1 menawarkan perlindungan yang lebih longgar untuk kerja tertentu dalam keselamatan siber dan sains hayat, khususnya bagi pihak yang mendapat akses melalui program dipercayai Anthropic.

Ketersediaan

Dari segi ketersediaan, Claude Fable 5.1 kini tersedia di semua platform, termasuk Amazon Web Services, Google Cloud dan Microsoft Azure. Pembangun juga boleh mengaksesnya melalui Claude API menggunakan model claude-fable-5-1.

Berkaitan

  • Anthropic Lancar Claude Fable 5 - Model AI Kelas Mythos Untuk Pengguna Umum
  • Ini Sebab Mengapa OPPO Reno16 Pro Peranti Terbaik Untuk Kaki Vlog
  • Claude Opus 5 Dilancarkan - Hampir Setanding Fable 5 Pada Separuh harga
  • Anthropic Perkenal Tera Air Pada Teks Claude Bagi Patuhi Undang-Undang EU

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY