Ciri Baru Facebook Akan Hantar Notifikasi Jika Terdapat Log Masuk Akaun Melalui Pihak Ketiga

Facebook melancarkan ciri baru pada minggu ini yang akan menghantar notifikasi apabila anda atau orang lain log masuk ke aplikasi atau laman web pihak ketiga menggunakan akaun Facebook anda.

Ciri baru Facebook ini dinamakan sebagai "Login Notifications" dan telah ditambahkan ke Facebook Login. Facebook Login adalah sistem di mana pengguna boleh menggunakan akaun Facebook untuk log masuk ke aplikasi dan laman web pihak ketiga.

Login Notifications

Rekaan dan kandungan Login Notification mengingatkan bahawa anda mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas maklumat yang dikongsikan dengan aplikasi pihak ketiga, dan membolehkan anda untuk menyunting tetapan tersebut.

Notifikasi yang akan dihantar melalui e-mel dan aplikasi Facebook, menunjukkan kepada anda jenis butiran Facebook yang dikongsi dengan aplikasi atau laman web pihak ketiga. Jika pengguna tidak mahu berkongsi alamat e-mel dan gambar dengan aplikasi tersebut, terdapat pilihan "Edit Settings" untuk mengalih keluar kebenaran aplikasi tersebut mengakses butiran anda.

Pengguna akan menerima notifikasi apabila kali pertama log masuk ke aplikasi pihak ketiga dengan Facebook Login dan memberikan akses kepada aplikasi tersebut untuk menggunakan butiran anda.

Anda juga akan menerima notifikasi apabila Facebook Login digunakan semula untuk mengakses aplikasi pihak ketiga selepas akses aplikasi kepada butiran anda telah tamat tempoh.

Selain itu, anda juga boleh melihat aplikasi mana yang mempunyai akses log masuk melalui pemeriksaan privasi rangkaian sosial dan membatalkan akses jika perlu.

Sumber: Engadget, Facebook for developers