Gergasi teknologi termasuk Microsoft dan Google kini dilaporkan telah mengemukakan dokumen untuk menyokong kes undang-undang yang difailkan Facebook terhadap syarikat sekuriti siber Israel, NSO Group.
NSO didakwa telah menggunakan kerentanan dalam aplikasi permesejan WhatsApp untuk mengintip sekurang-kurangnya 1400 peranti, di mana beberapa daripadanya dimiliki oleh wartawan dan aktivis hak asasi manusia.
NSO telah membangunkan dan menjual akses kepada pemerintah melalui perisian pengintip Pegasus, yang membolehkan pelanggan menyasarkan dan secara diam-diam mengintip peranti sasarannya. Perisian pengintip ini boleh mengesan lokasi, membaca mesej, mendengar panggilan, mencuri foto dan fail serta mendapatkan maklumat peribadi dari peranti mereka.
Perisian pengintip ini kebiasaannya dipasang dengan menipu sasaran untuk membuka pautan berbahaya atau kadang-kadang dengan mengekploitasi kerentanan yang belum pernah dilihat sebelumnya di aplikasi atau telefon secara diam-diam. Syarikat itu telah menarik minat penjualan kepada pihak berkuasa seperti Arab Saudi, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Tahun lalu, WhatsApp telah menemui kerentanan dan membuat tampalan keselamatan pada aplikasi itu. Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian WhatsApp telah memfailkan saman terhadap NSO.
NSO berulang kali menafikan tuduhan itu, tetapi tidak dapat meyakinkan mahkamah A.S. untuk menggugurkan kes itu awal tahun ini. Pertahanan undang-undang utama NSO adalah ia mempunyai kekebalan undang-undang kerana bertindak atas nama pemerintah.
Akan tetapi, gabungan syarikat teknologi kini memihak kepada WhatsApp dan meminta mahkamah untuk tidak membenarkan NSO menuntut imuniti. Antaranya termasuk Microsoft, Google, Cisco, VMware dan sebagainya yang mewakili lebih banyak gergasi teknologi lain.
Sumber: Microsoft via Techcrunch