Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

CIMB Ingatkan Pengguna iPhone Mengenai Notifikasi Amaran Apple

Posted on Ogos 18, 2026Ogos 18, 2026

CIMB kini mengingatkan pengguna supaya berwaspada terhadap notifikasi amaran Apple, iaitu amaran keselamatan yang dihantar Apple kepada individu yang dipercayai menjadi sasaran serangan menggunakan perisian pengintip (spyware) canggih.

Menerusi notifikasi dalam aplikasi CIMB bertarikh 17 Ogos 2026, pengguna dimaklumkan bahawa Apple mungkin menghantar amaran sekiranya mereka dipercayai menjadi sasaran spyware tersebut. CIMB turut meminta pengguna yang menerima amaran berkenaan supaya menyemak panduan keselamatan Apple dan mengambil langkah yang disyorkan.

Gelombang Amaran Apple

Untuk konteks, perkara ini kembali mendapat perhatian selepas Apple baru-baru ini menghantar satu lagi gelombang notifikasi amaran kepada pengguna di 110 negara, menurut laporan TechCrunch. Dalam laporan susulan, TechCrunch memetik penyiasat keselamatan yang menyatakan mereka menerima jumlah permintaan bantuan yang luar biasa tinggi selepas penghantaran tersebut.

Apple bagaimanapun tidak mendedahkan negara yang terlibat dalam gelombang itu, jadi tiada pengesahan bahawa Malaysia termasuk dalam kumpulan berkenaan.

Dalam tempoh yang sama, Apple turut mengemas kini panduan rasminya pada 13 Ogos 2026 untuk menerangkan dengan lebih jelas cara notifikasi tersebut disampaikan. Menurut Apple, amaran berkenaan boleh muncul terus pada iPhone melalui Skrin Kunci dan Settings, selain dihantar melalui e-mel dan dipaparkan pada halaman Apple Account selepas pengguna log masuk.

Notifikasi amaran Apple di Skrin Kunci (Lock Screen)
Notifikasi amaran Apple di bahagian Settings.

Apple menjelaskan notifikasi amaran tersebut bukan dihantar kepada semua pengguna. Sebaliknya, ia direka untuk memaklumkan dan membantu individu yang dipercayai menjadi sasaran secara khusus oleh mercenary spyware, iaitu perisian pengintip yang digunakan dalam serangan bersasar dan jauh lebih canggih berbanding ancaman siber biasa. Apple juga menyatakan majoriti pengguna tidak akan menjadi sasaran serangan seperti ini.

Sekiranya menerima notifikasi tersebut, Apple mengesyorkan supaya pengguna mengambil serius dan mengikuti langkah keselamatan yang diberikan, termasuk mengaktifkan Lockdown Mode. Ketulenan notifikasi juga boleh disemak melalui account.apple.com, kerana amaran sebenar akan dipaparkan pada bahagian atas halaman selepas pengguna log masuk.

Apple menegaskan notifikasi sebenar tidak akan meminta pengguna menekan pautan, membuka fail, memasang aplikasi atau memberikan kata laluan Apple Account dan kod pengesahan melalui e-mel atau telefon.

Bagi pengguna yang tidak menerima notifikasi amaran tersebut, Apple tetap menyarankan supaya peranti dikemas kini kepada versi perisian terkini bagi mendapatkan pembaikan keselamatan terbaharu.

Dalam pada itu, CIMB turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak akan meminta kata laluan, PIN, OTP atau maklumat perbankan melalui panggilan telefon, SMS atau e-mel.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress