Beberapa studio filem di China telah mengumumkan satu projek besar yang dipanggil “Kung Fu Movie Inheritance Plan”, satu inisiatif untuk menggunakan teknologi AI bagi menghidupkan semula 100 filem kung fu klasik, termasuklah yang dibintangi oleh legenda filem kung fu seperti mendiang Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li.
Pengumuman ini dibuat sempena Festival Filem Antarabangsa Shanghai, dengan sokongan rasmi kerajaan China.
Antara filem ikonik yang akan mendapat “suntikan AI” termasuklah
- Fist of Fury (1972) – Bruce Lee
- Drunken Master (1978) – Jackie Chan
- Once Upon a Time in China (1991) – Jet Li
- A Better Tomorrow (1986) – Chow Yun-fat (akan dijadikan versi anime bertema cyberpunk berjudul A Better Tomorrow: Cyber Frontier)
Versi baru A Better Tomorrow ini dikatakan sebagai filem animasi pertama di dunia yang dihasilkan sepenuhnya dengan proses AI, dan hanya melibatkan 30 orang dalam pasukan produksi.
Menariknya lagi, A Better Tomorrow: Cyber Frontier mungkin bakal ditayangkan di Netflix atau Disney+.
Namun, projek ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat, kerana filem asal bukan sekadar hiburan, tapi adalah warisan seni mempertahankan diri, aksi lagak ngeri sebenar, dan identiti sinematik yang sukar ditiru.
Walau bagaimanapun, pengarah projek menyatakan mereka komited untuk mengekalkan “roh” dan naratif asal filem-filem berkenaan, sambil menaik taraf kualiti visual, bunyi dan kesan khas agar selari dengan citarasa moden penonton hari ini.
“Ia bukan sekadar pemeliharaan warisan, tetapi juga penerokaan berani terhadap pembangunan seni filem yang inovatif,” Zhang Pimin, Pengerusi China Film Foundation.
{suggest}
Sumber: PCMag