Meta dan Oakley telah bekerjasama dan secara rasminya melancarkan kategori baharu dalam dunia teknologi boleh pakai, iaitu cermin mata pintar berprestasi tinggi yang dikenali sebagai Oakley Meta HSTN.
Cermin mata ini menggabungkan rekaan ikonik Oakley dengan teknologi canggih Meta untuk memberikan pengalaman AI yang direka khusus buat atlet dan peminat gaya hidup aktif.
Oakley Meta merupakan produk pertama hasil kerjasama ini. Ia dibangunkan berasaskan gaya cermin mata Oakley HSTN dan dilengkapi dengan pelbagai ciri teknologi moden.
Pengguna boleh merakam aksi secara bebas tangan menggunakan kamera resolusi tinggi 3K Ultra HD yang terbina dalam. Cermin mata ini juga mempunyai pembesar suara terbuka yang disepadukan secara halus dalam bingkai untuk membolehkan pengguna mendengar muzik, audio siar, dan kandungan audio lain tanpa perlu menggunakan fon telinga.
Salah satu kelebihan utama Oakley Meta ialah ia hadir dengan Meta AI terbina di dalam. Pengguna boleh berinteraksi dengan pembantu AI ini menggunakan suara sahaja.
Sebagai contoh, semasa bermain golf, pengguna boleh bertanya, “Hey Meta, how strong is the wind today?” untuk mendapatkan maklumat segera mengenai keadaan angin.
Selain itu, cermin mata pintar ini direka tahan lasak dengan penarafan kalis air IPX4, membolehkan ia digunakan dalam pelbagai situasi aktif dan cuaca tidak menentu.
Dari segi prestasi bateri, Oakley Meta mampu bertahan sehingga lapan jam untuk penggunaan biasa, dan sehingga 19 jam dalam mod standby. Ia menyokong pengecasan pantas sehingga 50 peratus dalam masa hanya 20 minit dan hadir bersama bekas pengecas mudah alih yang memberikan tambahan kuasa sehingga 48 jam.
Meta menyatakan bahawa produk ini menandakan evolusi cermin mata pintar yang bukan sahaja bergaya tetapi juga berfungsi sebagai alat prestasi sebenar.
Prapesan untuk edisi terhad Oakley Meta akan bermula pada 11 Julai dengan harga $499 (~RM2,125), manakala koleksi penuh akan dilancarkan kemudian pada musim panas ini dengan harga bermula daripada $399 (~RM1,700).
Produk ini akan tersedia di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Perancis, Itali, Sepanyol, Austria, Belgium, Australia, Jerman, Sweden, Norway, Finland dan Denmark.
Meta juga merancang untuk melancarkannya di Mexico, India, dan Emiriah Arab Bersatu menjelang akhir tahun ini.
{suggest}