OpenAI kini mengumumkan satu ciri baharu dalam ChatGPT yang membolehkan pengguna mencari, membandingkan, dan membeli produk terus melalui perbualan.
Ciri ini sekali gus mengukuhkan ChatGPT terhadap dominasi pasaran carian Google, yang kini berdepan tekanan berkaitan isu monopoli.
Melalui fungsi baharu ini, pengguna hanya perlu berbual dengan ChatGPT untuk mencari produk yang diinginkan, tanpa perlu menatal berpuluh halaman hasil carian seperti biasa.
ChatGPT akan memberikan hasil carian produk, memaparkan maklumat visual, harga, ulasan, dan menyediakan pautan langsung untuk membeli. Semuanya dipilih secara bebas dari web, tanpa sebarang iklan berbayar.
Buat masa ini, ciri shopping ini memberi tumpuan kepada kategori fesyen, kecantikan, dan elektronik rumah. OpenAI turut menjelaskan bahawa pengguna boleh bertanya soalan lanjutan atau membandingkan produk dengan lebih mudah, seolah-olah berbual dengan pembantu beli-belah peribadi.
https://x.com/OpenAI/status/1916947243044856255
Menurut OpenAI, lebih daripada satu bilion carian web telah dilakukan melalui ChatGPT hanya dalam minggu lalu, menandakan betapa pantasnya fungsi carian ini berkembang dalam kalangan pengguna.
Ciri shopping ini kini sedang dilancarkan secara berperingkat kepada semua pengguna ChatGPT — termasuk pengguna pelan percuma, Plus, Pro, serta mereka yang menggunakan ChatGPT tanpa log masuk. Proses pelancaran penuh dijangka mengambil masa beberapa hari.
Langkah ini juga hadir di tengah persaingan yang semakin sengit dengan Google, yang telah mengintegrasikan Gemini, pembantu AI mereka, ke dalam hasil carian utama.
Sebagai maklumat, ini kelebihan guna ChatGPT untuk beli-belah:
- Cari dan banding produk hanya dengan perbualan.
- Dapatkan maklumat harga, ulasan, dan pautan beli tanpa perlu tatal banyak laman.
- Produk yang disyorkan dipilih bebas dari web, bukan iklan.
- Sesuai untuk beli produk dengan cepat dalam kategori fesyen, kecantikan, dan elektronik rumah.