Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

ChatGPT Dan Claude Ramal Sepanyol Juara Piala Dunia 2026

Posted on Jun 15, 2026Jun 15, 2026

ChatGPT dan Claude memilih Sepanyol. Le Chat daripada firma Mistral Perancis pula mengira Les Bleus (Perancis) bakal merangkul kejuaraan.

Manakala DeepSeek dan Qwen dari China lebih cenderung kepada Argentina.

Piala Dunia 2026 merupakan kejohanan pertama yang berlangsung ketika chatbot AI generatif sudah tersedia secara meluas, dan para peminat serta penyelidik kini beralih kepada sistem tersebut dalam usaha meramal juara mutakhir.

Trend kegilaan tahun ini untuk mendapatkan jawapan daripada bukan manusia mengingatkan kita kepada ‘Paul si Sotong’, haiwan sefalopod yang meramal pasukan pemenang dengan cara makan dari bekas makanan yang ditandakan dengan bendera negara bertanding semasa kejohanan tahun 2010.

Memandangkan ChatGPT milik OpenAI hanya dilancarkan kepada umum pada 30 November 2022 — ketika Piala Dunia di Qatar yang lalu sedang rancak berlangsung — tidak ramai orang di luar Lembah Silikon yang menyedari tentang kewujudan AI generatif semasa Argentina memacu langkah menuju kejuaraan.

Namun hari ini, pelbagai institusi daripada pihak bank sehinggalah universiti sedang menguji keupayaan sistem AI generatif dalam meramal keputusan bola sepak.

Penganalisis Bank of America mendapati bahawa chatbot Microsoft CoPilot mereka memilih Sepanyol dan Perancis secara seimbang, di mana Perancis diletakkan sebagai pilihan oleh sekitar 40 peratus peminat.

Sementara itu, laman berita teknologi Tom’s Guide telah bertanya kepada Gemini milik Google, ChatGPT, dan Perplexity — hasilnya, Sepanyol diramal sebagai juara dalam setiap ujian, manakala Perancis menjadi pilihan kedua bagi kesemuanya.

Satu lagi laman berita, Decrypt, menerima keputusan yang serupa daripada chatbot barat seperti ChatGPT dan Claude milik Anthropic — namun mendapati pesaing dari China iaitu DeepSeek dan Qwen kedua-duanya memilih Argentina.

Di samping itu, para penyelidik di Universiti Ludwig Maximilian (LMU) Jerman sedang menjalankan analisis yang lebih saintifik.

Mereka menerbitkan tahap ketepatan setiap model AI bagi ramalan perlawanan demi perlawanan di sebuah laman web awam, LLM SoccerArena.

“Persoalan sama ada model bahasa (language models) boleh menyokong situasi membuat keputusan sebenar secara boleh dipercayai adalah sangat kritikal,” kata penyelidik pengurusan LMU, Stefan Feuerriegel, dalam satu kenyataan.

“Sebab itulah kita memerlukan penanda aras yang bukan sahaja menguji tugas-tugas abstrak, tetapi juga melihat bagaimana model-model ini mengendalikan maklumat dinamik, ketidakpastian, dan keputusan yang boleh disemak kemudian” berdasarkan keputusan sebenar, tambahnya.

Para penyelidik dari Munich itu sedang menguji kedua-dua aspek: ramalan AI berdasarkan pengetahuan dalaman mereka sendiri, serta keupayaan AI untuk menyatukan maklumat yang ditemui dalam talian mengenai faktor-faktor seperti kecederaan, pemilihan skuad, dan juga pasaran pertaruhan ke dalam ramalan mereka.

Di sebalik keseronokan mencongak keputusan akhir, AI juga sedang menyokong tugas jurulatih, kakitangan perubatan, pengadil, dan malah scammer tiket, lapor penyelidik dari University of the Sunshine Coast Australia untuk portal dalam talian The Conversation.

“Kita tidak akan melihat ejen AI menjaringkan gol, atau robot bergelar jurulatih yang membuat keputusan (sekurang-kurangnya bukan buat masa ini), tetapi tidak syak lagi bahawa pemenang kejohanan ini nanti pasti telah bergantung kepada bantuan AI di sepanjang perjalanan mereka,” kata mereka.

– AFP.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress