Mulai 15 Disember 2026, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beralih daripada kaedah pengesahan melalui SMS OTP kepada BSNSecure (MFA), yang hanya tersedia melalui aplikasi BSN eWallet.
Menurut BSN, peralihan ini bertujuan memperkukuh keselamatan transaksi dan memberikan perlindungan lebih baik kepada pemegang kad daripada penipuan kewangan.
Bagi memastikan transaksi dalam talian tidak terganggu selepas tarikh pelaksanaan, pengguna perlu memuat turun atau mengemas kini aplikasi BSN eWallet melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery untuk melakukan transaksi e-dagang menggunakan BSNSecure.
Perlu diketahui bahawa peranti perlu menjalankan sekurang-kurangnya iOS 16.0, Android 12.0 atau EMUI 13, atau versi yang lebih baharu untuk memuat turun aplikasi tersebut.
Selain untuk mengesahkan transaksi e-dagang, aplikasi BSN eWallet juga membolehkan pengguna menguruskan kad, menebus ganjaran Happy Rewards serta menikmati ciri interaktif yang disediakan.
Bagaimanapun, perubahan ini tidak melibatkan pemegang Kad-i Korporat BSN Visa dan Kad Debit Perniagaan BSN Visa. Untuk maklumat lanjut, layari halaman BSN eWallet atau Soalan Lazim BSN eWallet.


