Anthropic memperkenalkan Claude Sheets dan Claude Whiteboards dalam versi beta. Langkah ini dilihat sebagai usaha syarikat itu menjadikan Claude sebuah suite produktiviti pejabat yang bersaing dengan Microsoft 365 dan Google Workspace.
Kedua-dua alat ini sudah tersedia untuk semua pelan berbayar Claude. Ia hadir bersama Claude Data, nama baharu bagi Claude Dashboards. Claude Data kini tersedia sepenuhnya selepas memasuki fasa beta pada Oktober lalu.

Claude Sheets membolehkan pengguna menjana hamparan lengkap dengan beberapa tab, formula, format dan menu drop-down, selalunya hanya dengan satu arahan. Contohnya ialah penjejak kempen pemasaran atau bajet pengambilan pekerja.
https://x.com/claudeai/status/2120206365759094857?a=z76GFKiW6CKdDqZVNqM&s=20
Claude juga boleh menyunting sel dan menandakan setiap perubahan supaya mudah dijejak. Hamparan pula boleh dikongsi untuk disunting bersama rakan sepasukan.
Bagaimanapun, Anthropic mengakui fungsi Sheets masih asas buat masa ini. Bagi ciri Excel penuh, pengguna boleh mengeksport fail ke format .xlsx atau CSV, atau menggunakan Claude for Excel.
Claude Whiteboards pula ialah papan kongsi untuk sesi brainstorm. Pengguna boleh membincangkan sesuatu rancangan, dan Claude akan menyusunnya menjadi papan lengkap dengan garis masa, pemilik tugas dan tarikh. Papan yang siap boleh ditukar kepada dokumen atau slaid, atau dipindahkan ke Lucid, Miro dan Vani by Zoho.
Claude Data pula menghubungkan Claude kepada sumber data syarikat seperti data warehouse atau CRM. Daripada data itu, ia boleh menghasilkan papan pemuka, laporan bertulis dan video ringkas berserta naratif. Antara ciri baharunya ialah definisi metrik yang disahkan pasukan data serta perkongsian langsung. Kedua-dua ciri itu masih dalam beta.
Selain itu, interactive connectors kini membolehkan aplikasi seperti Adobe, Atlassian, Box dan Notion dibuka sebagai aplikasi penuh di sebelah perbualan Claude.
Ketiga-tiga ciri ini boleh digunakan di web, desktop dan mudah alih. Bagi pelan Team, semuanya diaktifkan secara lalai. Bagi pelan Enterprise pula, Sheets dan Whiteboards dimatikan secara lalai, manakala Claude Data akan diaktifkan secara automatik mulai 19 November 2026.
Anthropic turut memberi pratonton Claude Meetings, ciri akan datang yang boleh membantu pengguna semasa panggilan.
