Gergasi teknologi, Jensen Huang berdepan kemelut baharu pada Selasa apabila para pemegang saham menyaman beliau dan syarikatnya kerana didakwa mengelirukan mereka berhubung hubungan sulitnya dengan seorang wanita yang dituduh mengintip untuk China.
Firma guaman yang berpangkalan di AS, Rosen Law Firm, menyatakan bahawa ia telah memfailkan saman tindakan kelas (class-action lawsuit) yang menuduh Huang dan gergasi AI Nvidia gagal mendedahkan maklumat kepada pemegang saham mengenai hubungannya dengan wanita yang dituduh menyalurkan maklumat kepada Beijing.
The New York Times melaporkan bulan lalu bahawa Huang yang dilahirkan di Taiwan telah menjalin hubungan rapat dengan Alice Huang, seorang eksekutif warga China yang dikaitkan dengan syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, Megaspeed.
Wanita tersebut tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan CEO Nvidia berusia 63 tahun itu.
Saham pembuat cip berkenaan merosot selepas lembaga pengarah Nvidia membuka siasatan terhadap laporan bahawa CEO mereka telah menjadi “sasaran usaha perisikan asing,” yang mana Beijing menafikan dakwaan tersebut.
China kini bersaing sengit untuk mendominasi bidang teknologi menentang Amerika Syarikat, yang mengehadkan eksport cip silikon paling canggih ke China.
Nvidia, peneraju global dalam menghasilkan cip yang digunakan untuk melatih dan menjalankan model AI, merupakan salah sebuah syarikat paling bernilai di dunia.
Saman yang difailkan di mahkamah persekutuan California pada Isnin menyatakan bahawa Huang dan Nvidia telah mengelirukan pemegang saham berhubung kebimbangan keselamatan negara yang ditimbulkan oleh hubungan sulit itu, dan kenyataan mengelirukan mereka telah “melambungkan harga saham Nvidia secara tiruan”.
“Akibat tindakan tidak sah dan kecuaian Defendan, serta kejatuhan mendadak nilai pasaran sekuriti Syarikat, Plaintif dan ahli-ahli Kumpulan yang lain telah mengalami kerugian dan kerosakan yang amat besar,” menurut dakwaan saman tersebut.
Huang mengaku dalam satu mesej kepada pekerja Nvidia yang dikeluarkan pada Ahad bahawa beliau telah “tidak setia” kepada isterinya.
“Tindakan saya telah melukakan hatinya dan anak-anak kami. Tiada alasan bagi apa yang telah saya lakukan. Saya amat menyesal,” katanya.
Huang merupakan tokoh teras dalam lonjakan kecerdasan buatan dan penasihat tidak rasmi rapat kepada Presiden AS Donald Trump, yang telah berulang kali menentang kawal selia industri tersebut supaya China tidak mendapat kelebihan. – AFP
