Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Bill Gates Beri Amaran Dunia Belum Bersedia Hadapi Pergolakan Akibat AI

Bill Gates Beri Amaran Dunia Belum Bersedia Hadapi Pergolakan Akibat AI

Diterbitkan Ogos 27, 2026 ยท Dikemas kini Ogos 27, 2026 oleh Amalina Athman

Bill Gates memberi amaran bahawa dunia berada dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapi pergolakan yang dibawa oleh kecerdasan buatan (AI), dengan teknologi itu memusnahkan pekerjaan dan mengancam hubungan sesama manusia, terutama dalam kalangan golongan muda.

Dalam penulisan hampir 6,000 perkataan yang diterbitkan di blognya pada Rabu, pengasas bersama Microsoft itu berkata peralihan ke era AI akan menjadi antara tempoh paling bergolak dalam sejarah manusia. Menurutnya, sehingga kini masih belum ada pelan yang benar-benar meyakinkan untuk mengurus perubahan tersebut.

“AI akan menjadi penyamarata terbesar yang pernah dicipta, atau sumber ketidakadilan paling buruk,” tulis Gates.

Beliau berkata tiada pelan yang jelas untuk membantu dunia memasuki era AI. Gates malah menyatakan beliau berkemungkinan menyokong pelan sedemikian sekiranya ia wujud, tetapi berpendapat perkara itu sukar berlaku kerana tekanan geopolitik dan ekonomi mendorong pembangunan AI pada kadar yang sangat pantas.

Gates berkata beliau melihat tiga risiko utama yang timbul daripada penggunaan AI secara pantas.

Risiko pertama ialah kemusnahan pekerjaan secara kekal. Gates berkata AI tidak boleh disamakan dengan peralihan daripada pekerjaan di ladang kepada kerja pejabat. Perubahan tersebut berlaku secara berperingkat selama beberapa generasi, dengan pekerjaan baharu yang diwujudkan masih memerlukan manusia untuk berfikir.

Namun, menurut Gates, AI berpotensi menggantikan proses berfikir itu sendiri. Dalam tempoh kira-kira sedekad, beliau berkata perkara ini boleh memberi kesan kepada bidang seperti undang-undang, perubatan, khidmat pelanggan, perisian dan pembuatan.

Jawatan peringkat permulaan dan pertengahan menurutnya antara yang paling terdedah, sekali gus menyebabkan golongan muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan berdepan lebih sedikit peluang.

Pekerjaan kolar biru juga tidak terkecuali apabila kos penggunaan robot semakin rendah, dengan jangkaan sektor pembinaan dan hospitaliti akan mula merasai tekanan tersebut menjelang penghujung dekad ini.

Beliau turut mencadangkan supaya sesetengah pekerjaan terus dikhaskan untuk manusia walaupun AI boleh melakukannya dengan lebih baik dan pada kos lebih rendah.

Risiko kedua yang dibangkitkan Gates ialah penggunaan AI oleh pihak yang berniat jahat. Beliau berkata pakar keselamatan siber yang dikenalinya semakin bimbang kerana penyerang dilihat mampu bergerak lebih pantas berbanding pihak yang bertanggungjawab menampal kelemahan keselamatan.

Antara sistem yang menurutnya terdedah termasuk hospital, bank, sistem bekalan air dan rangkaian elektrik.

Selain pekerjaan dan keselamatan, Gates turut memberi perhatian kepada kanak-kanak serta hubungan sesama manusia.

Dengan memetik hasil penyelidikan, Gates berkata chatbot AI yang tidak pernah mencabar atau mengecewakan pengguna berisiko menyebabkan ketagihan serta menghilangkan peluang mereka untuk membina kemahiran sosial.

“Bot AI merampas pengajaran yang kita peroleh melalui hubungan dengan orang lain,” tulisnya.

Gates juga mengakui beliau masih mempunyai hubungan kewangan yang rapat dengan industri teknologi. Menurutnya, keuntungan daripada pelaburan tersebut akan disalurkan kepada yayasannya, yang merancang membelanjakan baki AS$200 bilion dalam tempoh dua dekad akan datang.

Penulisan itu diterbitkan beberapa bulan selepas Gates ditemu bual oleh Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan AS berhubung hubungannya dengan mendiang pesalah seks Jeffrey Epstein. Dalam keterangan kepada anggota Kongres pada Jun, Gates menyifatkan hubungan tersebut sebagai “kesilapan besar dalam pertimbangan”. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Model AI Makin Kerap 'Hack' Sistem Ketika Ujian - Antara Realiti, 'Humble Brag' Atau Kedua-Duanya
  • Robot Humanoid Pecah Rekod Usain Bolt Di World Robot Games Beijing
  • Laporan Dedah 688 Ejen OpenAI Sertai Serangan Ke Atas Hugging Face Tanpa Arahan Manusia

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Projek Pusat Data Tidak Akan Diluluskan Di Negeri Yang Kekurangan Bekalan Air - Johari Ghani
  • Siri vivo X500 Dijual Mulai 3 November, Tawar Ganjaran Lebih RM3,400
  • Straw Kertas Tidak Semestinya Lebih Mesra Alam Daripada Plastik - Kajian Penyelidik Korea Selatan
  • Scammer Dilapor Ambil Kesempatan 'Hype' Emulator PS5 Dengan Sebar Malware Kepada PC Pemain
  • China Nafi Dakwaan Jensen Huang Jadi Sasaran Pengintipan
  • Korea Selatan Rancang Dakwa Pelajar Menipu Dalam Peperiksaan Guna Cermin Mata Pintar
  • Krisis Bekalan Memori Dijangka Lebih Parah Pada 2027 - Samsung
  • Binance Digodam, AS$6.3 Bilion Aset Terjejas Dalam Kecurian Kripto Terbesar
©2026 WISER.MY