Arm memperkenalkan AGI CPU, cip silikon pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh Arm berasaskan platform Neoverse.
Konfigurasi pelayan rujukan oleh Arm ini pada asasnya direka untuk memaksimumkan kepadatan pengkomputeran dalam pusat data moden.

Menggunakan reka bentuk 1OU, 2-node, setiap node (sistem) dilengkapi dengan 2 cip pemproses, memori khusus dan sambungan input/output (I/O), dengan setiap satu blade (unit pelayan) ini mampu menempatkan sebanyak 272 teras pemproses.
Jadi, apabila disusun dalam satu rak pusat data standard dengan sistem penyejukan udara berkapasiti 36kW, sebanyak 30 blade boleh dipasang, menghasilkan jumlah keseluruhan sekitar 8,160 teras dalam satu rak sahaja.

Kepadatan ini sangat tinggi, menjadikannya sesuai untuk beban kerja berskala besar seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan analitik data.
Malah, Arm turut membangunkan sistem yang lebih berkuasa menggunakan penyejukan cecair, hasil kerjasama dengan Supermicro.
Dalam konfigurasi ini, rak pelayan boleh memuatkan sehingga 336 cip Arm AGI, menghasilkan lebih daripada 45,000 teras pemproses, sesuai untuk pusat data yang memerlukan kuasa pengiraan ekstrem.

Arm berkata, AGI CPU direka bentuk untuk memberikan prestasi tinggi pada beban berterusan merentasi ribuan teras secara selari.
Meta menjadi rakan utama, bersama syarikat seperti OpenAI, Cloudflare, SAP dan SK Telecom.
Arm berkata, sistem komersial akan ditawarkan oleh Lenovo, Supermicro dan ASRockRack, dengan sokongan komuniti Open Compute Project.
Pelancaran ini membuka lembaran baharu Arm dalam pasaran pusat data AI.
Ia menandakan peralihan Arm daripada sekadar pembekal IP kepada pengeluar silikon siap guna, sekali gus memperkukuh kedudukan mereka sebagai asas silikon untuk era awan berasaskan agen.
{suggest}



