Pengumuman Apple pada hari Selasa bahawa iPhone 17 Air hanya akan ditawarkan tanpa slot SIM fizikal di seluruh dunia menandakan langkah besar bagi teknologi eSIM, yang sebelum ini telah lama digunakan di Amerika Syarikat.
Apa itu eSIM?
Kad SIM fizikal menyimpan semua maklumat yang diperlukan telefon untuk bersambung ke rangkaian mudah alih, termasuk kontrak dan nombor pelanggan.
Pengguna sudah berdekad lamanya menggunakan kad plastik kecil ini ketika memasang telefon baharu, menukar penyedia, atau ketika melancong.
eSIM pula menyimpan data digital dengan fungsi sama seperti SIM fizikal, membolehkan pengesahan peranti ke rangkaian secara selamat, menurut GSMA (badan piawaian global).
Kebanyakan telefon pintar moden menyokong eSIM, walaupun banyak model masih menawarkan slot SIM fizikal. Pendaftaran boleh dilakukan melalui imbasan kod QR, mesej daripada penyedia rangkaian, atau terus memindahkan eSIM daripada telefon lama.
Apa bezanya dengan SIM biasa?
Oleh kerana eSIM bersifat digital sepenuhnya, ia boleh dimuat turun dari jauh, menjadikan proses seperti menukar rangkaian atau melanggan pelan tempatan ketika melancong jauh lebih mudah.
Ia juga mengurangkan penggunaan plastik dan kos pengedaran. Namun, pengaktifan awal memerlukan sambungan internet — bermakna pengguna mungkin perlu sambung Wi-Fi di rumah dahulu sebelum boleh aktifkan rangkaian.
Bagi pengembara, eSIM tempatan juga sebaiknya diaktifkan lebih awal supaya telefon terus berfungsi sebaik tiba di destinasi.
Mengapa Apple memilih eSIM?
Apple mula membuang slot SIM fizikal di AS sejak iPhone 14 (2022).
Di laman webnya, Apple menyatakan eSIM menawarkan lebih fleksibiliti, kemudahan, keselamatan, dan sambungan tanpa gangguan. Dengan komponen fizikal yang lebih sedikit, telefon juga boleh direka lebih nipis dan mudah digunakan.
Penganalisis CCS Insight, Kester Mann, berkata Apple juga mungkin mahu mengawal lebih banyak proses penyambungan pelanggan dengan penyedia rangkaian ketika pengguna mula menggunakan telefon baharu.
Bagaimana dengan pengeluar lain?
Samsung setakat ini belum melancarkan telefon tanpa slot SIM langsung, tetapi dijangka akan mengikut jejak sama.
Google sudah memperkenalkan Pixel 10 dengan versi eSIM sahaja di AS.
Menurut Roland Berger, penggunaan eSIM dijangka melonjak kepada 75% daripada sambungan telefon pintar menjelang 2030, berbanding hanya 10% pada 2023.
Apa kesannya setakat ini?
Kajian Roland Berger mendapati tiada peningkatan besar dalam kadar pelanggan bertukar rangkaian (churn) walaupun eSIM memudahkan proses tersebut.
Dalam pelancongan, penjualan eSIM tempatan dijangka meningkat daripada 70 juta (2024) kepada 280 juta (2030). Penyedia seperti Airalo dan Holafly kini menjual sambungan internet murah untuk pelancong, manakala syarikat penerbangan serta telco besar turut mula menawarkan alternatif mereka sendiri.
Selain telefon, eSIM juga memudahkan komunikasi mesin-ke-mesin (M2M) seperti jam tangan pintar, kereta, dan meter elektrik pintar yang boleh dikonfigurasi dari jauh. – AFP
{suggest}