Apple baru sahaja melancarkan iPhone Air, ahli baharu dalam barisan iPhone 17. Nama “Air” sebelum ini kita selalu dengar pada MacBook dan iPad, tapi kali ini ia dibawa masuk ke iPhone.
Ramai yang pada mulanya menyangka iPhone Air adalah model “murah” di bawah iPhone 17 standard. Hakikatnya, tidak. Ia sebenarnya berada di tengah-tengah, antara iPhone 17 dan iPhone 17 Pro.
Strategi ini mirip dengan apa yang Samsung buat dengan Galaxy S25 Edge, model yang duduk di celah versi standard dan versi Ultra.
Dari segi spesifikasi, iPhone Air hampir sama dengan iPhone 17 Pro. Ia menggunakan cip A19 Pro, ada skrin 6.5 inci Super Retina XDR dengan ProMotion 120Hz, binaan titanium gred 5, Ceramic Shield 2 yang lebih tahan calar, dan bateri yang cukup untuk kegunaan seharian.
Bezanya cuma satu – sistem kamera. iPhone Air hanya ada satu lensa kamera utama, berbanding sistem berbilang lensa pada model Pro.
Bagi saya, iPhone Air bukan dicipta untuk penggemar fotografi mudah alih. Kalau anda suka rakam video 4K Dolby Vision, guna format RAW, main dengan Log, atau mahukan telefoto untuk zum jauh, jelas iPhone 17 Pro adalah pilihan lebih tepat. iPhone Air ini tidak menyasarkan golongan itu.
“Wujud ke orang yang beli iPhone bukan sebab kamera?”
Jawapannya, ya. Saya sendiri salah seorang daripadanya. Sekarang saya guna iPhone 15 Pro, tapi jujurnya jarang guna semua fungsi kamera pro yang ada.
Saya tak ambil gambar RAW, tak rakam Log, dan jarang guna telefoto. Kebanyakan masa, saya hanya guna kamera iPhone untuk rakam story di Instagram atau hantar gambar dalam grup WhatsApp. Untuk kegunaan macam tu, kamera telefon midrange pun sudah cukup cantik.
Bila saya nak ambil gambar serius, lebih puas guna kamera Ricoh GR IIIx saya. Ia kecil, ringan, tapi ada sensor APS-C yang jauh lebih besar daripada kamera iPhone. Kualitinya pun lebih padu. Jadi bagi saya, kamera iPhone hanyalah “sekadar cukup” atau ada-ada je.
Itu sebabnya saya rasa iPhone Air sangat masuk akal untuk pengguna seperti saya. Ia menawarkan spesifikasi Pro — cip paling berkuasa, paparan terbaik, binaan paling kukuh — tetapi tanpa sistem kamera kompleks yang mungkin saya tak perlukan pun.
Kalau anda jenis yang gunakan telefon sebagai kamera utama, terutama bila bercuti dengan keluarga, sudah tentu anda mahukan sistem kamera paling lengkap.
Dan untuk itu, iPhone 17 Pro atau Pro Max adalah pilihan yang lebih sesuai. Tapi kalau anda lebih banyak guna telefon untuk media sosial, skrol TikTok, kongsi gambar di IG, atau sekadar ambil foto kenangan harian, iPhone Air sudah cukup.
Bagi saya, iPhone Air ini adalah “iPhone Pro tanpa kamera Pro”. Ia duduk di antara dua dunia: tidak terlalu asas seperti iPhone 17, tetapi tidak terlalu berlebihan seperti iPhone 17 Pro.
Sebab itulah di laman Apple sendiri, mereka kata iPhone paling nipis tapi di dalam pro.
Saya juga ada satu teori tentang nama “Air” ini. Mungkin Apple mahu memulakan satu identiti baharu dalam barisan iPhone, sama seperti MacBook dan iPad.
Kita ada MacBook Air dan MacBook Pro. Kita ada iPad Air dan iPad Pro. Kini kita ada iPhone Air dan iPhone Pro.
Mungkin pada masa akan datang, Apple tidak lagi bergantung pada nombor besar seperti “iPhone 20”, tetapi gunakan nama yang lebih kekal. Bezanya akan ditentukan oleh cip dan segmen, bukan nombor generasi.
Mirip yang digunakan Apple sejak sekian lama — MacBook Pro 2013, MacBook Air 2015, MacBook Air M1 dan sebagainya.
Kalau iPhone Air ini mendapat sambutan, saya rasa Apple akan teruskan segmen ini. Kalau tidak, mungkin ia akan terkubur seperti iPhone Mini — dihentikan selepas beberapa generasi.
Apa pun, saya tak kata yang peranti ini tidak ada kekurangannya. Memang ada banyak juga kekurangan dan salah satu kerisauan utama adalah berkaitan pengurusan haba pada iPhone senipis ini.
Namun, bagi saya iPhone Air masih boleh jadi pilihan sekiranya anda sanggup korbankan beberapa aspek. Ia menarik tetapi belum tentu ia buat ramai tertarik.
{suggest}