Apple iPad Pro (2020) Dilancarkan: Apa Yang Terbaru Dan Menarik?

Selain pelancaran komputer riba MacBook Air, Apple juga turut melancarkan model iPad Pro yang terbaharu. Model ini merupakan kemaskini kepada model iPad Pro tahun 2018 sebelum ini. Terdapat penambahan perkakas, fungsi, dan sokongan aksesori yang menjadikan iPad yang terlengkap pernah dilancarkan.

https://www.youtube.com/watch?v=09_QxCcBEyU

 

Rekaan


Dari segi rekaan keseluruhan, tidak banyak perubahan yang dilakukan kerana perubahan rekaan sebelum ini iaitu pembuangan bezel besar-besaran telah dibuat pada model iPad Pro 2018. Namun jika dipusing ke belakang, kini terdapat tambahan satu lagi lensa iaitu sudut lebar 10MP di samping lensa utama 12MP. Ini juga merupakan sistem kamera yang sama diguna pakai dalam peranti iPhone 11.iPad Pro's updated camera module

Bersebelahannya pula terdapat sistem sensor Light Detection and Ranging (LiDAR) yang digunakan untuk mengukur jarak mengunakan medium cahaya. Jadi, sensor ini sangat membantu terutamanya ketika penggunaan AR diaktifkan.

Paparan peranti masih lagi mengekalkan spesifikasi yang sama dengan iPad Pro 2018. Ia masih lagi mempunyai 2 pilihan dengan saiz 12.9 / 11.0 inci Liquid Retina dengan panel IPS LED. Resolusi skrin adalah pada 2732 x 2048 (12.9 inci) / 2388 x 1668 (11 inci) dan juga mempunyai teknologi paparan seperti 120Hz ProMotion, gamut warna P3, dan True Tone.

Peningkatan Spesifikasi


iPad Pro 2020 dijana oleh cip pemprosesan lebih berkuasa dan terkini A12Z Bionic berbanding A12X Bionic pada model iPad Pro 2018. Storan juga kini bermula dari pilihan 128GB, 256GB, 512GB, dan 1TB. Ia juga turut menyokong 802.11ax Wi-Fi 6 untuk rangkaian internet lebih pantas.iPad Pro A12Z Bionic processor

Selain itu, pengguna kini terdapat pilihan untuk merakam rakaman video 4K dengan 24fps.

Aksesori Magic Keyboard dengan Trackpad


Dengan sokongan aksesori Magic Keyboard yang juga mempunyai trackpad terbina, mungkin anda tidak perlu lagi menggunakan komputer riba MacBook. Trackpad ini secara tidak langsung membolehkan iPad digunakan seperti komputer tradisional dengan sokongan cursor yang lebih memudahkan navigasi.2020 iPad Pro and Magic Keyoard

Untuk Magic Keyboard itu sendiri, ia merupakan aksesori tambahan dan boleh digunakan sebagai paparan terapung. Aksesori Magic Keyboard ini tidak terhad kepada iPad Pro 2020 sahaja kerana model iPad-iPad sebelum ini juga turut boleh menggunakannya.

Di Malaysia, iPad Pro 2020 dijual bermula RM3,499 untuk model 11 inci manakala model 12.9 inci pula dijual bermula RM4,399. Tarikh jualan walau bagaimanapun masih belum diumumkan.

Sumber: Apple