MacBook Air Dengan 'Magic Keyboard' Diumum Secara Rasmi, Harga Bermula RM4,399

Walaupun kedai jualan Apple di seluruh dunia (kecuali China) telah ditutup berikutan penularan Covid-19, namun ia tidak menghalang syarikat tersebut untuk melancarkan produk terbaru. Apple hari ini telah mengumumkan secara rasmi MacBook Air terbaru.



Hadir dengan paparan skrin Retina bersaiz 13.3 inci, Macbook Air 2020 secara asasnya dijana cip sehingga 4 teras Intel Core i5 dengan RAM 8GB LPDDR4X. Antara spesifikasi lain termasuk storan SSD sehingga 512GB, Touch ID, dua port Thunderbolt 3, dan Turbo Boost sehingga 3.5GHz. Penambahan cip pemprosesan tersedia bagi Intel Core i7 dan tambahan storan SSD sehingga 2TB.

MacBook Air 2020

Seperti yang dijangka sebelum ini, MacBook Air 2020 didatangkan dengan papan kekunci Magic berbanding papan kekunci butterfly yang mempunyai pelbagai isu seperti melekat atau kekunci yang tidak berfungsi selepas penggunaan yang berpanjangan.

MacBook Air 2020 ditawarkan di Malaysia dengan harga bermula RM4,399 bagi cip pemprosesan Intel Core i3 dengan storan SSD 256GB. Manakala bagi MacBook Air dengan cip Intel Core i5 dan storan SSD 512GB ditawar pada harga bermula RM5,599. Untuk tujuan pembelajaran pula terdapat penjimatan sehingga RM440 bagi produk Apple yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Apple Malaysia.

Sumber: Apple Newsroom