Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat, Apple, kalah dalam satu saman di mahkamah United Kingdom pada Khamis selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dominan App Store, dengan plaintif menuntut pampasan melebihi £1.5 bilion (AS$2 bilion).
Tribunal Rayuan Persaingan (Competition Appeal Tribunal) mendapati Apple telah menyekat persaingan dalam pasaran pengedaran aplikasi dan mengenakan komisen yang “berlebihan dan tidak adil” ke atas pembangun aplikasi.
Apple dalam kenyataannya berkata ia “sangat tidak bersetuju” dengan keputusan itu dan akan membuat rayuan.
Ini merupakan kekalahan kedua Apple dalam tempoh dua hari. Pada Rabu, Badan Kawal Selia Persaingan UK (Competition and Markets Authority) menamakan Apple dan Google sebagai memiliki “status pasaran strategik” dalam pasaran telefon pintar dan tablet kerana kedudukan dominan mereka.
Kedua-dua syarikat itu kini akan berdepan peraturan lebih ketat terhadap perkhidmatan di platform mudah alih mereka, yang menurut CMA berisiko “menghadkan inovasi dan persaingan”.
Langkah baharu ini menyerupai undang-undang Digital Markets Act di Kesatuan Eropah, yang membolehkan penguatkuasaan denda besar dan boleh memaksa gergasi teknologi membuka platform mereka kepada pesaing.
Kes saman terhadap Apple ini dibawa oleh Dr. Rachael Kent dari King’s College London bersama firma guaman Hausfeld & Co, bagi pihak jutaan pengguna iPhone dan iPad di UK.
Di bawah undang-undang UK, semua individu yang berpotensi terjejas akan secara automatik termasuk dalam tindakan kelas ini dan berhak mendapat pampasan, kecuali mereka memilih untuk menarik diri.
Semasa perbicaraan yang bermula Januari lalu, pihak plaintif berhujah bahawa pengguna Apple terpaksa membayar lebih mahal disebabkan larangan Apple terhadap kedai aplikasi pesaing.
Komisen 30 peratus yang dikenakan Apple ke atas setiap pembelian aplikasi didakwa menyebabkan harga meningkat kepada pengguna.
Mahkamah mendapati Apple menggunakan App Store untuk menyekat pesaing dan memaksa pengguna menggunakan sistemnya sendiri, sekali gus meningkatkan keuntungannya.
Sekatan tersebut, menurut tribunal, tidak wajar atau tidak seimbang dengan matlamat Apple untuk mengekalkan sistem yang “terpadu dan berpusat”.
Mahkamah juga memutuskan bahawa apabila Apple mengenakan caj berlebihan kepada pembangun aplikasi dan kos tersebut dipindahkan kepada pengguna, maka pengguna berhak mendapat bayaran balik berserta faedah.
Firma Hausfeld menyambut keputusan itu sebagai “kejayaan besar bagi pengguna dan perniagaan UK”, sambil menambah bahawa bayaran balik berpotensi melibatkan aplikasi popular seperti Candy Crush dan YouTube.
Apple, yang menolak saman itu sebagai “tidak berasas”, menegaskan bahawa App Store berdepan persaingan hebat daripada banyak platform lain, serta menyatakan bahawa 85% aplikasi di App Store adalah percuma.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pengawal selia di seluruh dunia semakin giat menyiasat amalan Apple, khususnya berkaitan yuran dan peraturan App Store.
Apple kini turut berdepan saman lain bernilai £785 juta di UK berhubung yuran yang dikenakan kepada pembangun aplikasi.
Pada April lalu, Apple juga telah dikenakan denda €500 juta (£436 juta) oleh Kesatuan Eropah kerana menghalang pembangun daripada menawarkan pilihan harga lebih murah di luar App Store, yang melanggar peraturan EU.
Apple telah memfailkan rayuan terhadap denda tersebut. – AFP
{suggest}
