Antara perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum pembelian telefon pintar, ialah tempoh sokongan perisian. Walaupun dasar kemas kini telefon berbeza-beza mengikut jenama, kebanyakan jenama akan memberitahu dengan jelas berapa lama peranti akan menerima sokongan perisian.
Berbeza dengan Apple, ia tidak memberikan jaminan minimum untuk sokongan perisian, walaupun antara yang terbaik dalam menawarkan kemas kini keselamatan.
Kini, Apple akhirnya telah mengesahkan sokongan minimum untuk kemas kini iPhone.
Pada 29 April 2024, peraturan Keselamatan Produk dan Infrastruktur Telekomunikasi (PSTI) United Kingdom telah dikuat kuasa. Peraturan ini memaksa syarikat yang mengeluarkan, mengimport atau mengedarkan produk berkeupayaan internet di UK untuk mematuhi keperluan keselamatan tertentu.
Syarikat yang terlibat dengan peraturan itu mesti menyediakan penyata pematuhan yang menggariskan, antara lain, tempoh sokongan kemas kini keselamatan. Memandangkan iPhone adalah produk berkeupayaan internet, Apple juga tidak terkecuali untuk mematuhi peraturan PSTI UK.

Baru-baru ini, Apple telah menerbitkan pernyataan pematuhannya untuk iPhone 15 Pro Max, mendedahkan bahawa tempoh sokongan yang ditetapkan adalah minimum lima tahun dari tarikh pembekalan pertama. Tarikh pembekalan pertama disenaraikan pada 22 September 2023, iaitu apabila siri iPhone 15 mula dijual.
Menurut teks peraturan PSTI, “Defined Support Period” bermaksud “tempoh masa minimum, dinyatakan sebagai tempoh masa dengan tarikh tamat, yang kemas kini keselamatan akan disediakan”.
Bermakna, Apple mengesahkan bahawa ia akan mengeluarkan kemas kini keselamatan sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh pelancaran iPhone 15. Dengan kata lain, iPhone 15 secara rasmi dijamin menerima kemas kini keselamatan, sekurang-kurangnya sehingga 22 September 2028.
Google, Samsung tawar sokongan perisian lebih lama
Atas kertas, Google dan Samsung mengatasi Apple dengan menawarkan jaminan sokongan perisian sehingga tujuh tahun.
Walaupun begitu, rekod prestasi Apple menunjukkan bahawa ia lebih baik daripada itu (jaminan) – memberikan sokongan kemas kini keselamatan melebihi jaminan lima tahun.
Sumber: Android Authority
