Microsoft mula mengambil langkah baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi lama dengan menjadikan sokongan aplikasi 32-bit sebagai ciri pilihan dalam Windows Server 2028.
Perubahan ini melibatkan WoW64, iaitu lapisan keserasian yang membolehkan aplikasi 32-bit dijalankan pada sistem operasi Windows 64-bit.
Menurut Microsoft, WoW64 tidak lagi akan dipasang secara lalai (default) dalam Windows Server 2028.
Namun, organisasi yang masih memerlukan aplikasi 32-bit boleh memasang semula ciri tersebut melalui Feature on Demand (FOD).
“Kami sebenarnya akan membuang subsistem WoW64. Ia merupakan ciri atas permintaan. Anda boleh menambahnya semula jika anda mempunyai aplikasi perniagaan yang menggunakan seni bina 32-bit,” Elden Christensen, Pengurus Program Utama (Principal Group PM Manager) di Microsoft.

Ini bermakna sokongan 32-bit tidak dihapuskan sepenuhnya, tetapi hanya tidak lagi menjadi komponen standard.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha Microsoft untuk meningkatkan keselamatan sistem operasi.
Komponen lama sering dianggap sebagai risiko kerana boleh membuka lebih banyak ruang kepada serangan siber dan kerentanan keselamatan.
Microsoft juga dilaporkan sedang mengurangkan pergantungan terhadap teknologi lama lain seperti SMB1 dan VBScript.
Walau bagaimanapun, pengguna Windows 11 tidak perlu bimbang buat masa ini kerana Microsoft belum mengumumkan sebarang rancangan untuk menghapuskan sokongan aplikasi 32-bit pada Windows 11.
Sistem operasi tersebut masih menyertakan WoW64 dan mampu menjalankan aplikasi 32-bit seperti biasa.
