Android kini mengambil langkah baharu untuk mengimbangi keterbukaan platform dengan aspek keselamatan pengguna, menerusi pengenalan sistem pengesahan pembangun serta ciri “Advanced Flow” bagi sideload aplikasi.
Sebelum ini, pengguna Android boleh memasang aplikasi luar Play Store dengan mudah melalui fail APK. Namun, perubahan terbaru ini menetapkan bahawa semua pembangun perlu mempunyai identiti yang disahkan, walaupun aplikasi diedarkan di luar Play Store.
Langkah ini bertujuan menangani peningkatan kes penipuan yang memanipulasi pengguna untuk memasang aplikasi berbahaya.
https://x.com/MishaalRahman/status/2034693556565405865?s=20
Menurut Google, penjenayah siber sering menggunakan taktik tekanan seperti panggilan telefon atau akses jauh untuk memujuk mangsa mematikan ciri keselamatan. Laporan Global Anti-Scam Alliance 2025 turut mendedahkan bahawa 57% pengguna pernah terdedah kepada scam, dengan kerugian global mencecah AS$442 bilion.
Bagi pengguna berpengalaman yang masih mahu memasang aplikasi daripada pembangun tidak disahkan, Google memperkenalkan “Advanced Flow”.

Proses ini memerlukan pengguna mengaktifkan Developer Mode, mengesahkan bahawa mereka tidak dipengaruhi pihak lain, serta melalui proses restart dan pengesahan semula peranti. Selain itu, terdapat tempoh menunggu selama 24 jam sebelum pemasangan dibenarkan, bagi mengurangkan risiko keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

Selepas melengkapkan proses ini, pengguna boleh memilih untuk membenarkan sideload aplikasi selama tempoh tertentu atau secara kekal, namun amaran keselamatan tetap akan dipaparkan.
Dalam masa sama, Google turut memperkenalkan akaun pengedaran terhad untuk pelajar dan pembangun hobi, membolehkan aplikasi dikongsi kepada kumpulan kecil tanpa keperluan pengesahan identiti penuh.
Perubahan ini dijangka dilaksanakan bermula Ogos, menandakan usaha berterusan Google dalam memperkukuh keselamatan tanpa mengorbankan kebebasan pengguna Android.
{suggest}
