Amazon Web Services (AWS) melancarkan cip AI terbaharu buatannya sendiri, Trainium3, pada Selasa, menandakan usaha besar syarikat itu untuk bersaing dengan Nvidia dalam pasaran kuasa pengkomputeran kecerdasan buatan yang sangat menguntungkan.
Langkah ini menghangatkan lagi persaingan dalam pasaran cip AI, di mana Nvidia kini menguasai sekitar 80 hingga 90 peratus pasaran bagi produk yang digunakan untuk melatih model bahasa besar seperti ChatGPT.
Minggu lalu, industri dikejutkan dengan laporan bahawa syarikat induk Facebook, Meta, akan menggunakan cip AI Google di pusat datanya — tanda kemunculan pesaing baharu untuk Nvidia, syarikat paling bernilai di dunia dan penanda utama dalam gelombang pelaburan AI.
Perkembangan ini berlaku selepas Google melancarkan model AI terbaharu bulan lalu yang dilatih menggunakan cip buatan dalaman mereka sendiri, bukan cip Nvidia.
AWS,yang akan menawarkan teknologi ini kepada pelanggan perkomputeran awannya, berkata cip baharu itu lebih murah berbanding pesaing dan menawarkan lebih empat kali ganda prestasi komputer berbanding versi sebelumnya sambil menggunakan 40 peratus kurang tenaga.
“Trainium3 menawarkan prestasi harga terbaik dalam industri untuk latihan dan inferens AI berskala besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AWS, Matt Garman, pada acara pelancaran di Las Vegas.
Inferens ialah fasa pelaksanaan AI, di mana model berhenti mengumpul maklumat terlatih dan mula menjalankan tugasan dalam situasi dunia sebenar.
Penggunaan tenaga menjadi salah satu kebimbangan utama dalam era AI, dengan syarikat teknologi gergasi terpaksa memperlahankan atau menghentikan komitmen pelepasan sifar bersih (net-zero) kerana berlumba-lumba mengejar perkembangan teknologi.

AWS berkata cip itu dapat mengurangkan kos melatih dan mengendalikan model AI sehingga 50 peratus berbanding sistem yang menggunakan unit pemproses grafik (GPU) setara — kebanyakannya daripada Nvidia.
“Latihan model tercanggih kini memerlukan pelaburan infrastruktur yang hanya mampu ditanggung oleh segelintir organisasi,” kata AWS, yang melihat Trainium3 sebagai cara untuk mendemokrasikan akses kepada kuasa pengkomputeran AI berprestasi tinggi.
AWS menambah bahawa beberapa syarikat sudah menggunakan teknologi ini, termasuk Anthropic, pembangun pembantu AI Claude dan pesaing kepada OpenAI, pembuat ChatGPT.
AWS turut mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan Trainium4, yang dijangka menawarkan sekurang-kurangnya tiga kali ganda prestasi Trainium3 bagi beban kerja AI standard.
Cip generasi seterusnya itu akan menyokong teknologi Nvidia, membolehkannya berfungsi bersama pelayan dan perkakasan syarikat tersebut.
Pembangunan cip dalaman Amazon mencerminkan trend lebih meluas dalam kalangan penyedia awan yang cuba mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar sambil menawarkan alternatif yang lebih menjimatkan kepada pelanggan untuk beban kerja AI.
Nvidia pula mengejutkan pemerhati industri minggu lalu apabila ia memberi respons terhadap kejayaan Google melalui satu hantaran luar biasa di X, dengan menyatakan syarikat itu “gembira” dengan persaingan tersebut sebelum menambah bahawa Nvidia “selangkah di hadapan industri.” – AFP.
{suggest}
