Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Amazon Leo Rancang Lancar Sehingga 5,105 Satelit Untuk Sambungan Terus Ke Telefon Pintar

Posted on Julai 29, 2026Julai 29, 2026

Amazon mengumumkan rancangan untuk memperluaskan projek satelitnya menerusi Amazon Leo Direct-to-Device (D2D), yang membolehkan telefon pintar dan peranti mudah alih disambungkan terus ke satelit tanpa bergantung sepenuhnya kepada menara telekomunikasi.

Bagi merealisasikan perkara itu, Amazon telah memfailkan permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) untuk melancarkan sehingga 5,105 satelit orbit rendah Bumi (LEO). Pelancaran rangkaian tersebut dijangka bermula pada 2028.

Melalui rangkaian ini, Amazon menyasarkan perkhidmatan seperti panggilan suara, pemesejan, data dan komunikasi kecemasan dapat digunakan di kawasan yang tiada liputan rangkaian selular, sekali gus melengkapkan rangkaian mudah alih sedia ada, bukannya menggantikannya.

Sistem D2D ini merupakan sebahagian daripada pengembangan rangkaian satelit Amazon Leo selepas syarikat itu mengumumkan pengambilalihan operasi, infrastruktur dan aset Globalstar. Ia juga akan menggunakan spektrum Mobile Satellite Services (MSS) Globalstar untuk menyediakan sambungan terus kepada peranti yang serasi.

Menurut Amazon, rangkaian tersebut direka untuk menyokong telefon pintar yang menyokong sambungan satelit. Selain kegunaan harian, ia turut disasarkan untuk komunikasi ketika bencana, operasi di kawasan terpencil, pengurusan pengangkutan, sambungan peranti IoT dan penghantaran mesej kecemasan apabila rangkaian darat tidak tersedia.

Amazon sebelum ini turut mengumumkan kerjasama dengan Apple bagi menyokong perkhidmatan satelit pada model iPhone dan Apple Watch yang disokong, termasuk Emergency SOS via Satellite, Messages, Find My dan Roadside Assistance via Satellite.

Bagaimana teknologi Amazon Leo berfungsi?

Dari segi teknologi, satelit D2D Amazon tidak hanya memantulkan isyarat ke bumi (dikenali sebagai bent pipe) seperti satelit konvensional. Sebaliknya, satelit ini memproses isyarat terlebih dahulu di orbit sebelum menghantarnya semula bagi meningkatkan prestasi.

Ia juga dilengkapi sambungan laser antara satelit untuk membolehkan penghalaan trafik yang lebih pintar di seluruh rangkaian satelit. Selain itu, Amazon menggunakan teknologi digital beamforming dan beam-hopping bagi memfokuskan isyarat ke lokasi yang memerlukannya pada masa yang sesuai.

Amazon turut memaklumkan syarikat itu akan bekerjasama dengan lebih banyak pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia bagi menawarkan perkhidmatan ini.

Ketika ini, Amazon sedang membangunkan rangkaian satelit jalur lebar generasi pertamanya dan telah menempatkan lebih 390 satelit di orbit. Syarikat itu menyasarkan perkhidmatan tetap mula diperkenalkan di beberapa kawasan terpilih dalam tahun ini, manakala rangkaian D2D dijangka mula dibangunkan bermula 2028.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress