Google memperkenalkan ciri perbualan sementara dalam AI Mode pada Google Search, yang membolehkan pengguna bertanya soalan tanpa perbualan tersebut disimpan dalam sejarah carian akaun masing-masing.
Melalui ciri ini, pertanyaan yang dikemukakan tidak akan muncul dalam sejarah carian atau mempengaruhi cadangan Google pada masa hadapan. Contohnya, ciri ini boleh digunakan ketika mencari idea hadiah kejutan atau mendapatkan maklumat tentang sesuatu topik yang tidak mahu dikaitkan dengan carian biasa.
Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu klik ikon perbualan sementara di bahagian penjuru kanan atas AI Mode sebelum mula bertanya soalan. Tiada tetapan akaun yang perlu diubah untuk memulakan perbualan tersebut.
Menurut Google, sesi tersebut dipisahkan sepenuhnya daripada akaun pengguna. Oleh itu, jawapan yang diberikan tidak akan mengambil kira keutamaan pengguna sebelum ini, mempengaruhi personalisasi pada masa hadapan atau disimpan dalam sejarah carian.
Selepas perbualan ditutup, sesi berkenaan akan hilang dan pengguna boleh kembali menggunakan AI Mode seperti biasa.
Ciri perbualan sementara ini mula dilancarkan secara global dan berperingkat melalui pelayar desktop dan mudah alih. Ia turut tersedia dalam semua bahasa yang menyokong AI Mode.
