Acer hari ini mengumumkan pembaharuan untuk siri Swift Go dan Aspire Vero 16, yang menggabungkan prestasi komputer yang lebih hebat, kecekapan tenaga, paparan menakjubkan, dan reka bentuk lestari. Kedua-dua siri ini direka untuk memenuhi keperluan era PC dengan AI moden.
Swift Go 16 dan Swift Go 14
Siri Swift Go 16 (SFG16-73/T) dan Swift Go 14 (SFG14-74/T) direka untuk pengguna moden yang memerlukan laptop ringan, berprestasi tinggi, dan sesuai untuk tugasan harian. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan pemproses Intel Core Ultra 200H terkini dan grafik Intel Arc, membolehkan penggunaan AI untuk tugas berat serta hayat bateri sehingga lebih 27 jam.
Kedua-dua model menawarkan paparan OLED 3K atau IPS 2K yang memberikan visual yang jelas dan warna yang cantik. Paparan ini juga dilengkapi pensijilan Eyesafe 2.0 untuk mengurangkan keletihan mata semasa penggunaan lama. Laptop ini direka untuk fleksibiliti maksimum, dengan engsel 180 darjah dan reka bentuk nipis untuk mudah dibawa.
Swift Go 16 dan Swift Go 14 turut dilengkapi teknologi Wi-Fi 7, Bluetooth 5.4, kamera web QHD 1440p dengan ciri keselamatan seperti pengecaman wajah dan pembaca cap jari. Pelbagai port termasuk Thunderbolt 4 dan HDMI 2.1 juga disediakan. Dengan kapasiti memori sehingga 32 GB dan storan SSD sehingga 2 TB, laptop ini memastikan prestasi pantas dan ruang yang cukup untuk data.
- Swift Go 16 akan dijual mulai April dengan harga bermula USD949.99 (~RM4,720).
- Swift Go 14 pula akan tersedia mulai Mei dengan harga bermula USD899.99 (~RM4,045).
Aspire Vero 16
Komputer riba Aspire Vero 16 (AV16-71P) menonjol dengan reka bentuk mesra alam yang menggunakan lebih daripada 70% bahan kitar semula dan bio. Laptop ini adalah yang pertama di dunia menggunakan bahan berasaskan kulit kerang tiram, menjadikannya pilihan ideal untuk pengguna yang prihatin terhadap alam sekitar.
Aspire Vero 16 dikuasakan oleh pemproses Intel Core Ultra 200H, dilengkapi memori sehingga 32 GB dan storan SSD sehingga 2 TB. Laptop ini mampu menangani pelbagai tugasan dengan lancar tanpa menjejaskan kecekapan tenaga.
Dari segi paparan, Aspire Vero 16 menawarkan skrin WUXGA 16-inci dengan bezel nipis dan warna yang jelas. Kamera web QHD 1440p serta ciri keselamatan seperti penutup privasi memastikan pengalaman kerja dan mesyuarat dalam talian yang selamat dan berkualiti tinggi. Dengan teknologi Wi-Fi 7 dan dua port Thunderbolt 4, ia juga menjanjikan sambungan yang pantas dan serba boleh.
Aspire Vero 16 dijangka berada di pasaran mulai April dengan harga bermula USD799.99 (~RM3,596).
Anda boleh rujuk SINI untuk spesifikasi penuh.
{suggest}
Sumber: Siaran media Acer