Sempena penampilan sulungnya di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026, Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) mengumumkan pencapaian mereka sebagai Jenama EV Premium No. 1 di Malaysia.
Berdasarkan data pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat Mei 2026, jenama ini berjaya mencatatkan jualan terkumpul melebihi 4,000 unit dalam tempoh kurang daripada dua tahun sejak dilancarkan pada Disember 2024.
Memanfaatkan momentum berkenaan, Zeekr membuka tirai KLIMS 2026 dengan mempertontonkan serta membuka sesi tempahan bagi dua model elektrik ultra-mewah terbaharu mereka, iaitu Zeekr 009 Grand dan SUV berprestasi tinggi Zeekr 9X.
Zeekr 009 Grand merupakan MPV ultra-mewah versi empat tempat duduk yang memfokuskan kepada keselesaan ruang penumpang belakang gred eksekutif.
Ia dilengkapi dengan kerusi urut terapi batu panas (hot stone SPA) 20-titik, paparan skrin MiniLED bersaiz 43 inci, sistem bunyi mercu 31-pembesar suara, serta peti sejuk terbina berkapasiti 18 liter.
Bagi menjamin privasi peringkat tertinggi, varian ini dipadankan dengan cermin partition pintar antara pemandu dan penumpang, cermin sisi jenis kelam, serta dwi-peti besi elektronik berkunci kata laluan.
Reka bentuk luaran pula diserikan dengan rim forged terapung 20-inci dan jeruji hadapan DARK BADGE hitam berkilat. Harga jualan bagi Zeekr 009 Grand bermula daripada RM600,000.
Sementara itu, Zeekr 9X hadir sebagai SUV mewah tiga baris tempat duduk yang dibina di atas platform siri Sustainable Experience Architecture (SEA-S) dengan seni bina elektrik 900V.
Dijana oleh sistem SEA Super Hybrid bertenaga 1,030kW, SUV ini mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat serta menawarkan jarak gerak keseluruhan sehingga 1,250km (CLTC).
Ia turut menyokong pengecasan pantas ultra-efisien daripada 20% hingga 80% dalam masa 8.5 minit.
Dari segi keselesaan, model ini menggunakan sistem SEA AI Digital Chassis bersama suspensi udara aktif, manakala aspek keselamatan diperkukuh menerusi struktur SEA Safety Armor yang telah lulus ujian pertembungan empat hala pada kelajuan 105 km/j.
Ruang dalamannya dilengkapi dengan kerusi Cloud Lounge, skrin 3K OLED 17-inci, serta sistem audio Naim berkuasa 3,800W. Harga jualan bagi Zeekr 9X bermula daripada RM800,000.
Bagi menyokong ekosistem pemilikan, Pengurus Besar Zeekr Malaysia, Eddy Lu, menyatakan komitmen syarikat untuk memperluas rangkaian bilik pameran daripada lapan cawangan sedia ada kepada 18 outlet menjelang penghujung tahun 2026, termasuk peluasan ke Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, infrastruktur Zeekr Power turut diperkenalkan dengan pelancaran stesen pengecasan flagship pertama berkuasa 480kW DC di XPark Sunway Serene, serta pengukuhan fasa awal bersama DC Handal untuk penyediaan tujuh stesen pengecasan pantas 400kW di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Sunway Pyramid.
{suggest}






