Zanco Tiny T1 - Telefon Terkecil Di Dunia, Hanya Sebesar Bateri AAA

Adakah anda masih ingat diwaktu telefon pintar mula hangat dipasaran beberapa tahun lepas, kita berasa cukup kekok menggunakan peranti dengan skrin yang agak besar.

Ada rakan-rakan yang memerli kononnya kita bercakap menggunakan "dulang". Tetapi tahun demi tahun, saiz telefon dengan skrin yang besar sudah mula kelihatan normal. Rata-rata model dipasaran sekarang hadir dengan ukuran 5 inci dan keatas.



Namun begitu, ia tidak menghalang seorang pencipta daripada mengeluarkan telefon yang bersaiz 46.7mm x 21mm x 12mm. Ia sangat kecil dan kelihatan sebesar sebiji bateri AAA.

Diberi nama Zanco Tiny T1, ia telah dibangunkan oleh Shazad Talib yang sememangnya pakar dalam mencipta telefon bersaiz kecil. Ciptaannya sebelum ini seberat 20 gram manakala Tiny T1 pula seberat 13 gram.



Tiny T1 dilengkapi dengan skrin OLED berukuran 0.49 inci dengan resolusi paparan 64 x 12. Mempunyai sambungan MicroUSB dan mampu memuatkan 300 nombor telefon di dalamnya.

Telefon comel itu bakal dijual pada lingkungan harga 30-39 pound(~RM163.12-~Rm212.06). Talib turut memasang niat mahu mencipta telefon pintar terkecil pula selepas ini.

Sumber: Telegraph and Argus

Kredit Gambar: Kane Fulton