Xiaomi Patenkan 7 Rekaan Telefon Boleh Lipat

Pada awal Disember tahun lalu, Ross Young yang merupakan penganalisis terkenal telah mendedahkan 4 telefon pintar boleh lipat daripada Xiaomi, OPPO dan vivo akan dilancarkan pada  2021. Ia kemudian sekali lagi mendedahkan Xiaomi mungkin akan melancarkan 3 jenis telefon boleh lipat yang berbeza pada tahun ini.

Terbaru, laporan dari LetsGoDigital kini mendedahkan 4 paten Xiaomi yang memperlihatkan 7 rekaan telefon pintar boleh lipat. Daripada jumlah ini, 3 model mempunyai skrin boleh dilipat tutup (clamshell), selebihnya adalah telefon dengan lipatan skrin ke dalam yang boleh menjadi sebuah tablet.

Paten telefon dengan rekaan skrin boleh dilipat tutup


Seperti yang dinyatakan, Xiaomi telah mempatenkan 3 rekaan telefon dengan skrin boleh dilipat tutup. Dua model pertama mempunyai skrin dengan paparan penuh tanpa sebarang takuk atau paparan berlubang. Di bahagian belakang mempunyai paparan horizontal yang diletakkan pada bahagian atas.

telefon Xiaomi boleh lipat

Sementara itu, bahagian bawah pula menempatkan tetapan kamera. Model pertama mempunyai kamera tunggal dengan lampu LED. Bagi model kedua, ia membariskan tetapan empat kamera dengan lampu LED serta mikrofon kedua.

Kedua-dua model ini mempunyai butang kuasa dan pelaras suara di sisi kanan serta lubang pengecasan USB-C di bawah peranti.

Bagi model ketiga, ianya kelihatan seperti rekaan Motorola razr 5G. Model ini mempunyai tombol tebal di bahagian atas paparan utama dengan tetapan dua kamera untuk swafoto dan panggilan video.

telefon Xiaomi boleh lipat

Di bahagian belakang, terdapat tetapan tiga kamera. Butang kuasa, pelaras suara dan slot kad SIM pula diletakkan pada sisi kanan rekaan peranti.

Paten telefon dengan skrin besar boleh lipat


Selain paten rekaan telefon dengan skrin boleh dilipat tutup, Xiaomi juga mempatenkan 4 telefon dengan skrin besar boleh lipat dan dibuka menjadi sebuah tablet. Kesemua rekaan ini kelihatan hampir sama seperti Galaxy Z Fold2 dengan sedikit perbezaan antara keempat-empat rekaan.

Dua daripadanya mempunyai elemen rekaan seperti Mi Mix Alpha di mana sisi skrin bahagian dalam disambungkan dengan paparan di bahagian luar. Dalam erti kata lain, kedua-dua rekaan ini mempunyai panel OLED tunggal yang fleksibel dan berfungsi sebagai skrin utama dan luar tanpa sebarang takuk atau paparan berlubang.



Perbezaan bagi kedua-dua rekaan ini adalah tetapan kamera. Salah satunya mempunyai tetapan kuad-kamera yang diletakkan secara menegak, manakala rekaan kedua hadir dengan kamera tunggal. Terdapat butang tunggal yang diletakkan pada bahagian sisi.

Bagi dua rekaan terakhir, ia menampilkan paparan utama dengan skrin penuh tanpa takuk dan paparan berlubang. Di bahagian luar dimuatkan panel skrin berasingan yang diletakkan secara menegak.



Sama seperti rekaan sebelumnya, kedua-dua rekaan ini juga mempunyai perbezaan dari segi modul dan tetapan kamera. Butang kuasa dan pelaras suara pula diletakkan pada bahagian sisi kanan.

Dengan kesemua paten rekaan ini, belum diketahui rekaan mana yang akan digunakan Xiaomi untuk dikomersialkan nanti.

Sumber: GizmoChina