Samsung Galaxy Z Fold2 Dilancar Secara Rasmi - Paparan Lebih Luas, Dijana Cip Snapdragon 865+

Pada awal Ogos lalu, Samsung telah memperkenalkan Galaxy Z Fold2 pada acara Samsung Unpacked. Kini, Samsung Galaxy Z Fold2 telah dilancar secara rasmi dan maklumat terperinci mengenai peranti ini turut didedahkan.



Seperti yang diumumkan sebelum ini, Galaxy Z Fold2 dilengkapi paparan lebih luas dengan skrin utama bersaiz 7.6 inci Dynamic AMOLED, nisbah 22.5:18 serta menyokong kadar segar semula 120Hz. Ia menggunakan lapisan Ultra Thin Glass (UTG) untuk memberikan kelancaran penggunaan dan meningkatkan kualiti imej.

Bagi skrin luaran atau dinamakan sebagai Cover Screen, ia hadir dengan saiz 6.2 inci Super AMOLED yang dimuatkan dengan paparan berlubang Infinity-O.



Engsel yang dimuatkan pada peranti ini ditambahbaik dengan rekaan generasi ketiga. Ia dipanggil sebagai Hideaway Hinge dan menggunakan mekanisme CAM yang membolehkan Galaxy Z Fold2 ditegakkan dari 75 hingga 115 darjah.



Selain warna asal, engsel ini juga ditawarkan dengan 4 pilihan warna termasuk Metallic Silver, Metallic Gold, Metallic Red dan Metallic Blue.

Spesifikasi Galaxy Z Fold2




Galaxy Z Fold2 dijana cip pemproses Snapdragon 865+ dengan gandingan RAM 12GB dan 256GB storan UFS 3.1.

Bagi kamera, ia hadir dengan tetapan tri-kamera utama yang terdiri daripada 12MP utama+12MP sudut lebar+12MP telefoto. Terdapat dua kamera swafoto dengan satu di bahagian luar dan satu di bahagian dalam. Kedua-duanya hadir dengan sensor kamera 10MP. Cover Screen juga boleh digunakan sebagai viewfinder untuk merakam gambar dengan menggunakan tri-kamera utama dimana ia berfungsi sama seperti kamera swafoto.



Bateri dengan kapasiti 4500mAh dimuatkan pada Galaxy Z Fold2 berserta sokongan pengecasan pantas 25W dan juga pengecasan pantas tanpa wayar PowerShare.

Peranti ini hadir dengan dua pilihan warna iaitu Mystic Black dan Mystic Bronze.

Harga




Samsung Galaxy Z Fold2 akan ditawarkan di 40 pasaran terpilih bermula 18 September ini. Peranti ini ditawarkan pada harga $1,999 (~RM8280) untuk storan 256GB. Turut ditawarkan adalah storan dalam 512GB yang tersedia untuk pasaran terpilih termasuk China, Hong Kong dan Taiwan. Peranti ini dijangka hadir untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.



Dalam pada itu, Samsung turut mengumumkan Galaxy Z Fold2 Thom Browne Edition. Edisi ini didatangkan dengan Galaxy Buds Live dan Galaxy Watch 3. Terhad kepada 5000 unit, edisi istimewa ini ditawarkan pada harga $3,299 (~RM13,665).

Sumber: Samsung