Pada tahun lepas, Motorola telah membuat kejutan dengan melancarkan telefon lipat mereka yang pertama iaitu Motorola Razr. Genap hampir setahun usianya, mereka kini hadir dengan generasi kedua telefon tersebut dinamakan Motorola Razr 5G.
Seperti namanya, ia hadir dengan rangkaian 5G melalui cip janaan Snapdragon 765G yang merupakan penambahbaikan berbanding Snapdragon 710 pada Razr yang pertama.
Secara keseluruhan, Motorola Razr 5G masih lagi mengekalkan strategi dengan gabungan nostalgia dan teknologi telefon lipat.
Terdapat 2 skrin, skrin utama adalah bahagian dalam dengan ukuran 6.2 inci pOLED beresolusi 876×2142 pixel. Manakala bahagian luar pula 2.7 inci gOLED dengan 800×600 pixel.
Skrin bahagian luar telah diperkemaskini dengan lebih banyak aplikasi yang boleh berfungsi seperti kamera, mesej, kalkulator, YouTube malah papan kekunci.
Ia juga turut menyokong gestur navigasi yang sangat berguna jika pengguna mahu melakukan kerja tanpa membuka skrin.
Untuk kamera, tiada multi-lensa yang dimuatkan pada Razr 5G. Hanya satu lensa belakang sahaja dengan 48MP utama dengan apertur f/1.7, OIS dan juga autofokus laser.
Bahagian swafoto dalam pula adalah 20MP diletakkan pada takuk skrin.
Kapasiti bateri sebesar 2,800mAh diletakkan dengan pengecasan 15W. Untuk harga jualan, Motorola meminta bayaran sebanyak 1,399 USD (~RM5,828) untuk memiliki Razr 5G ini.