Xiaomi dilaporkan telah membatalkan rancangan untuk melancarkan Xiaomi 18 Ultra, yang sebelum ini dijangka menjadi model paling premium dalam siri Xiaomi 18.
Maklumat itu berdasarkan perkongsian peniris terkenal Digital Chat Station (DCS) di Weibo, yang mendedahkan spesifikasi sebuah telefon andalan yang dikatakan tidak akan memasuki pengeluaran besar-besaran kerana harganya terlalu tinggi. Walaupun DCS tidak menyebut nama model secara langsung, peranti tersebut dipercayai merujuk kepada Xiaomi 18 Ultra.
Menurut DCS, telefon berkenaan pada asalnya dirancang dengan harga sekitar RMB9,999 (~RM5,900) bagi konfigurasi 12GB RAM dan storan 256GB.
https://x.com/yabhishekhd/status/2106995863977623782?s=20
Namun, pengeluar dikatakan menjangkakan jumlah jualan pada harga tersebut tidak mencukupi untuk menyokong kos pembangunan dan pengeluaran, sekali gus menyebabkan projek berkenaan dihentikan.
Antara ciri paling menarik yang dirancang ialah sistem tiga kamera belakang dengan kesemua sensor menawarkan resolusi 200MP.
{suggest}
Ia merangkumi kamera utama 200MP dengan teknologi LOFIC, kamera ultralebar 200MP serta kamera telefoto periskop 200MP. Telefon itu juga dikatakan mempunyai sensor multispektrum dan sokongan lensa luaran magnetik.
Selain itu, Xiaomi 18 Ultra dilapor bakal menggunakan skrin rata dengan bezel sekitar 1mm yang sama nipis pada keempat-empat sisi, cip pemproses kelas andalan serta pembesar suara stereo simetri.
Sebagai perbandingan, Xiaomi 17 Ultra dilancarkan di China pada harga bermula RMB6,999. Ini bermakna harga yang dirancang untuk penggantinya adalah sekitar RMB3,000 lebih tinggi. Di Malaysia, model ini dijual pada harga bermula RM5,499.
Sekiranya laporan ini tepat, Xiaomi 18 Pro Max akan kekal sebagai antara model tertinggi dalam siri Xiaomi 18 tanpa kehadiran varian Ultra untuk generasi kali ini.
Bagaimanapun, Xiaomi setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pembatalan Xiaomi 18 Ultra. Oleh itu, maklumat mengenai pembatalan serta spesifikasi peranti berkenaan masih perlu dianggap sebagai laporan tidak rasmi.
