WhatsApp Lancar 'Security Centre', 8 Ciri Untuk Tingkatkan Keselamatan Akaun WhatsApp Anda

Seperti semua tahu, WhatsApp menyediakan ciri penyulitan lalai hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) untuk kesemua mesej dan panggilan.

Ini bermaksud, tiada pihak lain termasuklah pihak WhatsApp sendiri tidak akan dapat mengakses ke atas kandungan perbualan anda.

Sebaliknya hanya anda dan orang yang dihubungi sahaja yang akan mempunyai akses ke atas kandungan tersebut.

Bagi meningkatkan lagi ciri keselamatan pada akaun penggunanya, WhatsApp melancarkan pula ciri keselamatan terbaru yang dikenali sebagai Security Centre.

Security Centre memungkinkan pengguna untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk melindungi diri mereka daripada penipuan, spam dan kontak yang tidak diingini.

Berikut merupakan beberapa ciri-ciri sekuriti dan teknologi-belakang-tabir yang disediakan oleh WhatsApp untuk menangani penipuan, spam dan percubaan berniat jahat:-

1. Mengaktifkan pengesahan dua-langkah

Menerusi pengaktifan pengesahan dua-langkah, tahap sekuriti akaun WhatsApp anda mampu ditingkatkan.

Setelah diaktifkan, anda akan diminta untuk memasukkan PIN 6-digit bagi tujuan penetapan-semula dan juga pengesahan akaun.

Ini bertujuan untuk melindungi akaun anda daripada serangan pancingan (phishing) data dan percubaan pengambilalihan oleh penipu.

2. Lapor dan sekat mesej yang mencurigakan

Pernahkah anda menerima mesej yang mencurigakan daripada nombor yang tidak dikenali yang meminta maklumat peribadi daripada anda?

WhatsApp menyediakan cara mudah untuk melaporkan dan menyekat akaun bermasalah untuk memastikan keselamatan anda.

Sebaik sahaja anda melaporkan sesuatu kontak, perniagaan atau mesej tertentu, WhatsApp akan menerima lima mesej terakhir daripada perbualan dan mungkin akan melarang akaun tersebut jika ia didapati melanggar Syarat Perkhidmatan mereka.

Anda juga boleh menyekat akaun-akaun yang menghantar mesej yang tidak diingini dengan mudah.

Kontak yang sudah disekat tidak lagi akan dapat menghubungi atau menghantar mesej kepada anda.

3. Sentiasa menggunakan aplikasi WhatsApp yang rasmi

Berwaspada apabila memuat-turun aplikasi WhatsApp, terutamanya dengan kewujudan versi palsu atau tidak rasmi yang dibangunkan oleh pihak ketiga dalam platform Android atau iOS.

Aplikasi tidak rasmi mungkin mengandungi perisian hasad yang boleh mencuri data dan merosakkan telefon anda.

Ini sekaligus meletakkan privasi dan sekuriti anda kepada risiko kerana maklumat peribadi anda tidak lagi dilindungi oleh penyulitan lalai hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) oleh WhatsApp.

Sekiranya anda menerima pemberitahuan amaran daripada gedung aplikasi bertajuk "Aplikasi ini palsu", segera padamkan aplikasi tersebut dan muat turun versi rasmi.

4. Kekalkan privasi dalam sembang berkumpulan (group chats)

Tetapan privasi dan sistem jemputan berkumpulan membolehkan pengguna untuk menentukan keizinan untuk dimasukkan ke dalam mana-mana kumpulan.

Anda juga mempunyai pilihan untuk meninggalkan kumpulan tanpa pemberitahuan.

5. Mesej Sekali Tontonan dan Mesej Menghilang (View Once and Disappearing Messages)

Untuk meningkatkan taraf privasi, anda mempunyai pilihan untuk menggunakan fungsi Mesej Sekali Tontonan (View Once), yang yang membolehkan penerima untuk melihat mesej sekali sahaja tanpa pilihan untuk menyimpan, memajukan, dan membuat tangkapan skrin atau berkongsi mesej.

Mematikan fungsi “Telah Dibaca” dan mengaktifkan fungsi Mesej Menghilang juga antara ciri-ciri lain yang tersedia sebagai tambahan privasi.

6. Lindungi profil dalam talian anda

Pengguna boleh mengawal butiran peribadi mereka di WhatsApp seperti - Foto Profil, Terakhir Dilihat, Status dalam talian, Perihal, Status dan siapa yang melihatnya.

Anda juga boleh mengawal tahap kehadiran dalam talian anda dengan memilih siapa yang boleh dan tidak boleh melihat apabila anda berada dalam talian.

Dengan memastikan butiran peribadi anda kelihatan hanya kepada kenalan sahaja boleh membantu melindungi akaun anda daripada anasir jahat.  

7. Kerap memeriksa peranti terpaut anda

Semak peranti yang dipautkan dengan akaun WhatsApp anda secara berkala.

Ini akan menunjukkan kepada anda senarai semua peranti di mana akaun anda telah diakses.

Jika anda menemui apa-apa yang tidak dapat dikenalpasti, segera log keluar.

Jika anda mengesyaki akaun anda telah diakses melalui WhatsApp Web/Desktop, log keluar daripada semua komputer dari telefon anda.

8. Tangani maklumat palsu dengan semakan fakta pada aplikasi

Sekiranya anda menerima mesej yang mencurigakan atau tidak tepat, anda boleh mengesahkan maklumat tersebut dengan akaun Rangkaian Semakan Fakta Antarabangsa (IFCN) di WhatsApp.

WhatsApp bekerjasama dengan 50 organisasi semakan fakta di seluruh dunia untuk memastikan pengguna mempunyai akses kepada maklumat yang paling tepat.

Sebagai pengguna, anda boleh memajukan sebarang maklumat palsu dan tidak tepat kepada organisasi tersebut.

Anda juga boleh menerima fakta yang sepatutnya dan membantu untuk menghalang penyebaran berita palsu.

Perlindungan akaun di WhatsApp

WhatsApp baru-baru ini telah menambah langkah keselamatan di belakang tabir untuk memastikan perbualan anda dilindungi.

Antaranya adalah fungsi perlindungan akaun yang akan memaklumkan kepada anda sebarang percubaan yang tidak dibenarkan untuk memindahkan akaun anda ke peranti lain.

Menerusi fungsi ini, ia akan meminta anda untuk mengesahkan percubaan log masuk dari peranti lama anda sebagai langkah sekuriti tambahan.

Anda juga boleh memastikan akaun WhatsApp anda selamat dengan imbasan cap jari atau ID muka sebagai langkah privasi tambahan. Untuk menggunakan ciri ini, aktifkan fungsi biometrik anda dengan mudah dalam tetapan privasi dalam aplikasi.

{suggest}

Sumber: Siaran Media WhatsApp