Vivo Perkenal Vivo S6 5G - Bateri 4500mAh Dan Cip Exynos 980

Vivo semalam tampil memperkenalkan sebuah model terbaharu untuk siri S mereka, Vivo S6 5G. Ditawarkan terlebih dahulu untuk pasaran China, peranti ini mempunyai keupayaan sambungan 5G melalui penggunaan cip Exynos 980.

Bercakap mengenai spesifikasi, Vivo S6 didatangkan dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.44 inci yang menyokong resolusi FHD+. Rakaman hadapan peranti digalas oleh kamera 32MP yang ditempatkan pada takuk diatas paparan.



Mengenakan modul bulat pada bahagian belakang, sistem kuad kamera diberika pada peranti ini yang menawarkan 48MP, 8MP ultralebar, 2MP makro serta 2MP lagi untuk memperelok potret. Bahagian ini juga akan dihiasi dengan pilihan warna antara hitam, biru dan juga putih.



Di dalam Vivo S6 5G, ia dilengkapkan dengan cip pemproses Exynos 980 yang bergandingan bersama RAM 6GB atau 8GB serta pilihan storan antara 128GB atau 256GB.



Bakal menjalankan sistem Android 10 dilapisi dengan Funtouch OS 10, janaan kuasa peranti diperoleh daripada bateri 4500mAh yang ditemani dengan daya pengecasan 18W.

Vivo S6 diletakkan pada nilai dari 2698 yuan (~RM1666) sehingga 2998 yuan (~RM1851).