Platform beli-belah dalam talian milik China, Temu, berjanji untuk mempertingkat usaha membanteras penjualan produk yang menyalahi undang-undang di platformnya, menurut Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin.
Langkah itu dibuat selepas Temu dikenakan denda sebanyak €200 juta pada Mei lalu kerana membenarkan penjualan produk yang menyalahi undang-undang, termasuk mainan bayi yang berbahaya.
Menurut laporan AFP, Suruhanjaya Eropah telah menerima pelan tindakan Temu yang merangkumi beberapa langkah pembetulan bagi menangani pelanggaran peraturan digital EU.
Menerusi pelan tersebut, Temu berjanji untuk menjalankan analisis risiko serta memantau dengan lebih teliti langkah pencegahan penjualan produk yang menyalahi undang-undang di platformnya.
Syarikat itu juga akan mempertingkat usaha penguatkuasaan sekiranya langkah sedia ada didapati tidak mencukupi.
Selain itu, Temu akan meneliti bagaimana sistem cadangan produk berasaskan algoritma di platformnya berpotensi memperluaskan penyebaran produk yang menyalahi undang-undang, menurut Suruhanjaya Eropah selaku pengawal selia digital EU.
Dalam pada itu, Temu menyambut baik keputusan Suruhanjaya Eropah menerima pelan tindakan berkenaan.
“Kami menghargai kerjasama membina yang diberikan Suruhanjaya Eropah sepanjang proses ini,” kata Temu dalam satu kenyataan.
Menurut syarikat itu, pelan berkenaan membuktikan komitmennya untuk melabur dalam infrastruktur pematuhan yang kukuh bagi memastikan persekitaran beli-belah yang selamat dan dipercayai untuk semua pengguna EU. – AFP
