Exynos 980, Cip Pertama Diintegrasikan Dengan Keupayaan 5G

Samsung sedia memperkenalkan beberapa model telefon pintar dengan sokongan 5G untuk pasaran seperti Galaxy A90 5G dan Galaxy Note 10 5G. Namun, keupayaan 5G yang dilengkapkan pada barisan peranti mereka dicapai melalui penggunaan cip Exynos 9820 dan Snapdragon yang digandingkan bersama modem Exynos 5100 dan Snapdragon X50.

Kini bergerak lebih kehadapan, Samsung telah memperkenalkan Exynos 980 yang merupakan cip pertama diintegrasikan dengan 5G secara terus pada cip. Melaluinya, Samsung boleh menjimatkan ruang dalaman kerana tidak memerlukan cip modem tambahan dan menjadikaan kuasa lebih efisien bagi penggunaan 5G.

 



Exynos 980 dibangunkan menerusi proses FiNFET 8nm yang menawarkan sokongan rangkaian 2G hingga 5G. Ia dilengkapi dengan dua teras Cortex-A77 dan enam teras Cortex-A55, menjanjikan penyampaian kuasa perkomputeran pantas serta kompleks untuk menghadapi era 5G. Bahagian GPU pula ditugaskan kepada Mali-G76.

https://www.youtube.com/watch?v=hsNEjFaYcXk

Exynos 980 menyokong storan UFS 2.1 dan eMMC 5.1 dan RAM LPDDR4x sementara sokongan kamera sehingga 108MP untuk satu kamera serta 20MP+20MP bagi dwi kamera. Pengeluaran besar-besaran cip Exynos 980 dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini dan mungkin dimuatkan pada telefon pintar seawal suku pertama 2020.

Sumber: Samsung