Anak syarikat milik penuh Astro Malaysia, MEASAT Broadcast Network Systems (MBNS), telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Maxis Broadband Sdn Bhd untuk menjual aset perniagaan jalur lebarnya pada harga tunai sehingga RM83 juta.
Melalui pengumuman di Bursa Malaysia, Astro memaklumkan urus niaga itu melibatkan keseluruhan pangkalan pelanggan Astro Fibre, termasuk data dan maklumat akaun yang boleh dipindahkan setelah mendapat persetujuan pelanggan berkenaan. Ia turut merangkumi aset, peralatan, perisian dan inventori berkaitan perniagaan jalur lebar yang dimiliki MBNS.
Setakat 28 Februari 2026, perniagaan jalur lebar Astro mempunyai 178,631 pelanggan. Namun, harga akhir pelupusan bergantung pada jumlah pelanggan yang berjaya dipindahkan kepada Maxis apabila urus niaga disempurnakan. Jika sekurang-kurangnya 155,000 pelanggan dipindahkan, harga kekal pada RM83 juta.
Astro menjangkakan hasil pelupusan itu dapat mengukuhkan kedudukan tunai kumpulan dan menyediakan lebih banyak ruang untuk membiayai operasi serta keperluan modal kerja.
Pelupusan ini juga dijangka mengurangkan pendedahan Astro kepada risiko operasi dan komersial dalam pasaran jalur lebar yang kompetitif, sekali gus membolehkan kumpulan memberi lebih tumpuan kepada perniagaan teras seperti kandungan, hiburan dan pengiklanan.
Selepas urus niaga selesai, MBNS juga dijangka menyediakan perkhidmatan sokongan peralihan kepada Maxis, termasuk pengurusan bil, kutipan bayaran, sokongan pelanggan dan operasi rangkaian. Perjanjian sokongan tambahan ini dianggarkan bernilai sekitar RM1.4 juta sebulan, berasingan daripada jualan aset perniagaan jalur lebar tersebut.
Bagaimanapun, cadangan pelupusan ini masih tertakluk pada kelulusan pemegang saham Astro Malaysia dan penerimaan pemberitahuan bertulis daripada MCMC, yang menyatakan urus niaga itu tidak mencapai ambang berkaitan dan tidak akan dinilai oleh suruhanjaya tersebut. Jika tiada halangan luar jangka, urus niaga tersebut dijangka selesai menjelang suku kedua 2027.
