Penyelidik dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berjaya mencipta pakaian pertama di dunia yang mempunyai skrin sentuh terbina terus pada fabrik.
Inovasi ini membolehkan pakaian bukan sahaja dipakai seperti biasa, malah berfungsi sebagai paparan digital interaktif yang boleh disentuh dan dikawal seperti telefon pintar.
Teknologi tersebut menggunakan gentian khas yang menggabungkan fungsi paparan dan penderia sentuhan dalam benang yang ditenun ke dalam pakaian.
Dalam demonstrasi prototaip, lengan baju pintar yang dibangunkan mampu memaparkan imej dan video, selain berinteraksi dengan pengguna melalui sentuhan.
Lebih mengagumkan, pasukan penyelidik berjaya menyepadukan ribuan cip mikro serta puluhan ribu sambungan elektrik ke dalam gentian yang sangat nipis.
Hasilnya, pakaian ini kekal fleksibel, selesa dipakai dan mempunyai pengudaraan yang baik seperti fabrik biasa.
Sistem tersebut turut menyokong pelbagai fungsi termasuk kalkulator, galeri gambar, kompas, arahan suara, pemindahan data melalui Bluetooth serta pengukuran suhu badan.
Ujian juga menunjukkan fabrik pintar ini masih berfungsi dengan baik walaupun selepas dicuci berulang kali dan dibengkokkan ribuan kali.
Teknologi ini berpotensi membuka jalan bagi penghasilan pakaian yang berfungsi sebagai antara muka kepada data kesihatan dan peranti digital pada masa hadapan.
Para penyelidik tersebut kini sedang membangunkan satu antara muka baharu antara manusia dan kecerdasan digital.
Malah, pasukan penyelidik sedang memajukan lagipotensi teknologi skrin sentuh berasaskan tekstil ini ke arah resolusi yang lebih tinggi, keupayaan penderiaan bersepadu, serta menyokong kecerdasan buatan (AI) yang terbina dalam peranti.
Mungkin di masa hadapan, apabila digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI), ia mampu membolehkan pemantauan kesihatan, maklum balas, serta bantuan yang diperibadikan pada pemakainya.


