Sony Semiconductor Solutions mengumumkan sensor imej CMOS baharu, IMX742, yang disasarkan kepada generasi baharu endoskop perubatan pakai buang.
Sensor ini yang hanya bersaiz 1 milimeter persegi merupakan antara sensor paling kompak untuk aplikasi perubatan yang memerlukan peranti bersaiz kecil bagi keselesaan pesakit ketika menjalani pemeriksaan kesihatan .

Keistimewaan utama IMX742 ialah keupayaannya menghantar isyarat imej digital secara stabil melalui kabel sepanjang 5 meter. Menurut kajian Sony sendiri, ia merupakan sensor imej CMOS pertama dalam industri endoskop perubatan yang menyokong output digital dengan jarak penghantaran tersebut.
Teknologi ini membolehkan sistem endoskop direka dengan lebih fleksibel tanpa menjejaskan kualiti dengan penghantaran imej berdefinisi tinggi.

Walaupun kecil, sensor ini menawarkan resolusi sekitar 0.51 megapiksel dengan output 720 × 720 piksel serta rakaman video sehingga 60 bingkai sesaat (fps).
Proses pendigitalan isyarat terus pada sensor juga membantu mengurangkan gangguan hingar dan menghasilkan imej yang lebih jelas, terutama dalam persekitaran pencahayaan rendah di dalam tubuh manusia.
Sony turut menggunakan teknologi komunikasi dua hala yang membolehkan penghantaran data video dan isyarat kawalan melalui kabel yang sama.
Dengan permintaan terhadap endoskop pakai buang yang semakin meningkat bagi mengurangkan risiko jangkitan dan keperluan pemprosesan semula peralatan, Sony menjangkakan IMX742 dapat membantu pembangunan endoskop yang lebih kecil dengan kualiti pengimejan lebih baik.
Teknologi ini juga berpotensi menyokong prosedur pemeriksaan yang kurang invasif serta meningkatkan kemudahan pengendalian peranti.
Sony merancang untuk memulakan penghantaran sampel IMX742 pada November 2026 kepada pengeluar peranti berkaitan. Bagaimanapun, sensor ini merupakan komponen untuk pembangunan peralatan perubatan dan belum dinilai atau diluluskan sebagai peranti perubatan secara tersendiri.
