(Ulasan) vivo X Flip - Satu Lagi Cubaan Baik Tapi Kurang Mesra Pengguna Malaysia

vivo X Flip ialah telefon lipat pertama daripada jenama itu yang memasuki pasaran Malaysia secara rasmi. Pun begitu, jualannya sangat terhad dan tak tersedia secara dalam talian.



Harga telefon ini serendah RM3,999 dan hanya boleh didapati di kedai konsep vivo di Pavilion, KL dan Midvalley Southkey, Johor.

Anda juga mungkin tidak sedar kewujudannya di sini kerana ia tidak diiklankan dengan meriah. Bahkan, di laman web vivo Malaysia sekalipun, tidak disenaraikan X Flip dan X Fold.

Tapi tak mengapa, kita tinggalkan bab pemasarannya. Dalam artikel ini, saya ingin beritahu anda pendapat dan pengalaman saya menggunakan vivo X Flip.

Rekaan


Dari segi visual, ia nampak elegan, premium dengan kilatan yang memberi rasa mewah. Apabila dipegang, panelnya licin seperti kebanyakan telefon lain dengan kemasan glossy.



Yang menarik sekali ialah saiz skrin luarnya yang besar berbanding kebanyakan pesaing lain. Animasi dipaparkan menerusi skrin ini tampak lancar seperti skrin utama. Warnanya juga pekat.



Bila digenggam, ia terasa sedikit lebar berbanding telefon lipat lain. Bab rekaan, ia antara yang menarik dalam kelasnya.

Kami sehingga sekarang belum mendapat mencuba dengan penuh Galaxy Z Flip5, jadi tak dapat bandingkan skrin luar kedua-dua telefon ini sebelah-sebelah.

Lipatan


Apabila dilipat, kedua-dua bahagian bertemu rapat dengan jarak sekata. "Gapless", kata orang. Ini disebabkan penggunaan jenis engsel yang bolehkan skrin dilipat rapat. Inilah yang kita mahukan.



Buka-tutupnya terasa longgar kalau dibandingkan dengan Z Flip, tetapi sedikit ketat berbanding Huawei P50 Pocket. Ia membuatkan telefon ini rasa sedikit murah dan buat saya rasa kurang selamat atau yakin untuk digunakan bagi jangka masa panjang.



Kelonggaran ini melancarkan aktiviti buka tutup kerana kurang tenaga digunakan tetapi secara peribadi saya kurang gemar. Tapi, ada juga dalam kalangan ahli Wiser yang okey saja dengan kelancarannya.

Jadi, anda juga mungkin selesa dengan kelancaran pergerakan ini.



Selain itu, kesan lipatan pada skrin tidak dapat dikesan jika digunakan seperti dengan biasa. Tapi jika anda lihat dari sudut bawah atau apabila skrin terpadam, nampaklah juga kesannya tetapi agak minimal.



Apabila saya sentuh, kesan 'crease' tidak terasa terlalu dalam. Bagi saya, ia boleh diterima.

vivo x flip malaysia

Kalau dibanding dengan Z Flip4, telefon Samsung itu jauh lebih ketara kesan lipatannya dan mungkin ada yang sakit mata melihatnya.



Justeru, kesan lipatannya adalah pada boleh diterima. Biasalah mana-mana peranti lipat, kesannya memang ada cuma ketara atau tidak saja.

Sistem Operasi


Saya difahamkan vivo X Flip dan X Fold yang dijual di Malaysia tidak menjalankan Funtouch OS tetapi OriginOS 3 berasaskan Android 13.

Jika anda pengikut teknologi tegar, pastinya tahu dan mungkin juga sudah lama menanti telefon vivo dengan OriginOS ke Malaysia.



Namun, bagi anda yang tidak maklum, pasti tertanya-tanya, apa bezanya? Pertama sekali, antara mukanya sangat ketara jelasnya, seolah-olah dibangunkan 2 jenama berbeza sedangkan kedua-duanya di bawah vivo.



Ikon, rekaan butang dan sebagainya juga berbeza daripada Funtouch OS. Ia masih mempunyai feel "fun" dan "fancy" tetapi ada "depth" dari segi visual namun tidak terasa 'berat'.



Font digunakan juga berbeza. Ia bergantung pada cita rasa sama ada anda akan suka atau tidak selesa dengannya. Secara peribadi, saya suka kerana ia terasa berbeza tetapi untuk jangka masa panjang, saya tidak fikir saya masih kekal dengan perasaan yang sama.

Hal ini kerana ada sedikit kecanggungan yang tidak reti saya huraikan dengan font ini.



Daripada segi kelancaran, ia terasa lebih lancar dan responsif daripada Funtouch OS. Jangan salah faham, Funtouch OS tidak ada masalah lag seperti MIUI tetapi OriginOS lebih menyeronokkan tapi pada masa sama tidak berat.



 



Animasi dipaparkan juga lebih banyak dan meriah. Kalau anda okey-okey saja dengan Funtouch OS, Origin OS akan buat anda sedar bahawa telefon vivo dengan Funtouch OS terlalu membosankan.

Untuk kustomasi pula, ia memberi kebebasan yang tidak ada pada FunTouch OS seperti ketajaman bucu ikon dan butang serta lain-lain termasuk elemen-elemen yang kecil.

Ia terlalu banyak sehingga saya sendiri tidak punyai masa untuk mencuba setiap satu.



Kewujudan widget juga terlalu banyak dalam X Flip (ia dipanggil Kit). Saya rasa OriginOS adalah UI yang paling banyak saya guna seumur hidup.

Senang kata, OriginOS bukan saja lebih menyeronokkan tetapi juga mempunyai tahap kustomasi yang sangat tinggi. Pengguna yang suka mengubah-ubah tema, berdekorasi dan menghias paparan UI semestinya suka dengan OS ini.



Namun, di atas segala puji-pujian ini, perkara mustahak yang anda perlu tahu ialah ia menggunakan bahasa Cina kali pertama dihidupkan dari kotak. Jadi, anda harus minta pekedai tolong ubah bahasa.

Kemudian, ia juga tidak mempunyai Google Play Store secara lalai. Jadi, anda perlu pasang fail apk Play Store daripada luar. Selepas itu, anda pasang aplikasi melalui Play Store seperti biasa.



Namun, ia bukanlah penghalang besar kerana OriginOS tidak menghalang pemasangan Play Store seperti Huawei.

Di samping itu, kekurangan lain yang saya perasan ialah ada beberapa bahagian yang masih kekal dengan bahasa Cina sedangkan telefon sudah ditetapkan untuk menggunakan bahasa Inggeris. Misalnya, butang muat turun ketika saya cuba download fail apk Play Store melalui pelayar vivo sendiri.

Ini memberi isyarat bahawa OriginOS masih belum digilap sepenuhnya untuk pasaran luar China.

Perkataan-perkataannya mungkin telah diterjemah ke bahasa lain namun ada perkara-perkara kecil yang terlepas pandang.

OriginOS Untuk Sebuah Telefon Lipat


Memandangkan ia sebuah telefon lipat, pastinya ciri khas daripada OS ini untuk X Flip ini. Malang sekali, tidak banyak yang istimewa ditawarkan.



Bahkan, cirinya langsung mengambil nama daripada Samsung iaitu Flex Mode. Menerusinya, hanya ciri asas ditawarkan seperti mod paparan lipat untuk aplikasi tertentu.

Ia buatkan saya terfikir, "Lah, itu je?"



Tapi tak mengapa, mungkin pada masa akan datang, vivo mungkin akan memberi lebih banyak ciri melalui kemas kini.



Untuk paparan skrin luar lain pula ceritanya. Ada banyak pilihan paparan seperti notifikasi, bar status, animasi haiwan dan pelbagai lagi perkara yang agak fancy.



Menariknya, animasi pada skrin luar ini terlihat lancar dan tajam. Ditambah pula dengan saiz skrin yang agak besar, jadi ia sangat membantu pengguna melihat notifikasi dan membaca mesej tanpa perlu buka lipatan.

Kamera


Walaupun sebuah telefon lipat, kemampuan kameranya tidak diabaikan vivo kerana ia turut sama menggunakan lensa ZEISS.

Apa yang saya boleh katakan kualitinya menghampiri telefon vivo kelas andalan seperti siri X80 dan X90.







Dalam mod biasa yang bukan ZEISS, warnanya pekat, gambar nampak hidup dan mempunyai ketajaman yang baik. Namun, kemampuan HDR sedikit mengecewakan.







Ada foto memaparkan cahaya berlebihan daripada satu sumber, yang menunjukkan seolah-olah HDR tidak berfungsi. Gambar langit juga kebanyakannya langsung putih tanpa kelihatan segumpal awan pun, sekali lagi mendedahkan kelemahan kameranya.



Namun, isu HDR ini mungkin akan (atau sudah) dibaiki dalam kemas kini terbaru.

Bagi foto waktu malam, butirannya masih terpelihara dan noise juga tidak kelihatan.



Untuk potret pula kualitinya biasa-biasa saja. Pemisahan antara objek dan latar agak kemas dalam situasi biasa tetapi dalam beberapa keadaan, ada gamabr nampak terlalu pelik atau "cartoonish" kerana potongannya yang terlalu 'tajam'.



Tetapi secara keseluruhan, di samping beberapa kelmahannya, kualiti kamera vivo X Flip ini agak baik terutamanya dalam mod biasa.

Bateri


Bagi sebuah model peranti lipat, mempunyai kapasiti 4400mAh adalah satu kejayaan yang harus dirai. Samsung misalnya masih terhad dengan 3700mAh pada Z Flip5 sedangkan ia dianggap perintis untuk peranti lipat sekarang.



Dengan kapasiti sebesar ini, tidak hairanlah prestasi baterinya setanding dengan telefon biasa.

Ketahanan baterinya dikira agak bagus kerana dapat bertahan sekitar 8 jam. Dalam tempoh ini, saya selang selikan antara 120Hz dan 60Hz.



Untuk Netflix misalnya, saya tonton 3 jam tanpa henti dan ia memakan bateri sekitar 30%.



Penggunaan ketika tidak digunakan (skrin padam) juga kerana tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Mudah kata, baterinya juga menjadi salah satu kekuatan vivo X Flip ini.

{suggest}

Kesimpulan


Apabila saya katakan "kurang mesra pengguna Malaysia", ia bukan saja dari segi perisian dalaman peranti ini tetapi juga penjualannya.

Tapi saya faham, barangkali disebabkan faktor perisianlah, pihak vivo Malaysia tidak menjualnya secara besar-besaran. Saya percaya ia salah satu cara mereka untuk melihat reaksi pasaran di sini apakah ia mendapat sambutan atau tidak.



Keseluruhannya, vivo X Flip ialah sebuah peranti lipat yang baik dengan OS yang penuh animasi, kustomasi dan lancar. Namun, beberapa kekurangannya membuatkan ia sedikit kurang sesuai digunakan di Malaysia.

Hal ini adalah kerana OriginOS yang belum sepenuhnya diintegrasi dengan 'ekosistem' dan penggunaan tempatan.



Bahkan, ketika menggunakannya, keluar notifikasi bahawa ia tidak serasi dengan 5G di Malaysia. Saya tidak pasti apakah isu ini masih kekal hingga sekarang kerana pada bar status, tertera ia sedang menggunakan 5G.

Untuk harga RM3,999, ia antara termurah sekarang tetapi disebabkan terasa seperti belum 100% serasi untuk penggunaan di Malaysia, saya secara peribadi tidak akan membelinya jika mempunyai bajet sekalipun.

vivo x flip malaysia

Ia tidak dijual oleh vivo secara online tetapi kalau anda mahu ke kedai rasminya di Shopee, boleh klik SINI manakala kalau di Lazada pula melalui pautan INI.

Tetapi, ada kedai tempatan yang menjualnya secara dalam talian. Kalau apa-apa berlaku, anda harus rujuk mereka. Pautannya di SINI.

Spesifikasi penuh vivo X Flip tidak ada di laman web vivo Malaysia namun boleh didapati di laman web vivo China.