vivo bukanlah satu jenama yang sinonim dengan permainan. Seperti saudaranya OPPO, mereka sering dikaitkan dengan gambar swafoto yang menawan bersama beauty mode.
Namun, kini ia telah memberi perhatian bagi segmen ini. Kalau dulu vivo sudah menambat hati ibu, kali ini anak-anak mereka pula dengan penawaran telefon berfokus gaming.
Model T1 menjadi anak sulung bagi siri permainan pertama dalam sejarah vivo. Ia sudah dilancarkan di Malaysia dengan dua model iaitu vivo T1 5G dan vivo T1x.
Berikut ialah spesifikasi vivo T1 5G:
Cip: Snapdragon 778G 5G
RAM: 8GB
Storan: 128GB
Bateri: 4700mAh, 66W
Skrin: 6.44 inci, AMOLED 90Hz ,resolusi 2404 x 1080 (FHD+)
Kamera belakang: 64MP, 8MP dan 2MP
Kamera swafoto: 16MP
Sistem operasi: Android 12, Funtouch OS 12
Fotografi
Bercakap bab fotografi telefon vivo, tidak banyak perlu dibincangkan lagi.
Kamera pada telefon ini juga tidak banyak bezanya berbanding model-modelnya yang lain, kualitinya memuaskan terutamanya wanita yang mengamalkan budaya swafoto dalam kehidupan seharian.
Untuk gambar potret swafoto, anda boleh memilih laras bokehnya. Pertama kali saya cuba, ia seumpama tidak ada langsung kesan bokeh tapi rupa-rupanya saya perlu pilih bukaan aperturnya.
Gambar potret kamera belakangkangnya juga membawakan prestasi potongan bokeh yang baik. Bagaimanapun, kamera hadapannya tidak memberikan warna yang tepat seperti kamera belakang.
Antara perbezaan jelas antara kamera swafoto dan belakang ialah dari segi tona warna dan butirannya.
Antara contoh gambar lain termasuk potret, zum 2x dan lain-lain. Ternyata ia menampilkan kualiti yang baik dengan kontras dan ketepatan warna yang baik.
Saya cuba mengambil potret dengan botol air lutsinar. Ada kalanya ia gagal membezakan latar namun ada sesekali telefon ini berjaya memisahkannya. Ini bukanlah masalah besar memandangkan ia juga sering terjadi pada peranti lain.
Prestasi Permainan
Inilah yang menjadi tumpuan telefon ini. vivo tidak menggunakan cip kelas andalan seperti daripada Snapdragon siri 8 seperti telefon gaming lain walaupun mengiklankannya sebagai telefon untuk gaming.
Tapi tidak mengapa, mari kami kongsi pengalaman saya bermain PUBG pada peranti ini.
Untuk tetapan grafik, pengguna mampu meletakkan HDR dan Ultra untuk tetapan maksimum. Untuk pemain biasa, tetapan ini sudah mencukupi untuk kepuasan visual.
Dengan 90Hz yang disediakan, ia sedikit sebanyak memberikan pengalaman visual yang sedikit lebih baik berbanding paparan biasa 60Hz.
Dari segi pengalaman bermain, saya tidak mengalami apa-apa isu seperti lag dan sebagainya. Setiap pusingan dimainkan dengan lancar ditambah pula dengan pengaktifan Ultra Game Mode.
Namun, pertama kali memainkan PUBG, antara perkara yang agak mengganggu ialah apabila saya alihkan pandangan watak ke kiri dan kanan, ia terasa seperti terlalu laju ia bergerak.
Saya tidak mengubah tetapan dalam PUBG namun selepas kali ketiga, barulah saya rasa ia mula normal. Tidak pasti apakah ada tetapan telefon yang mempengaruhinya atau hanya bug sementara.
Suhu
Untuk pengeluaran suhu juga vivo T1 5G ini mampu menguruskannya dengan baik. Buktinya, satu jam PUBG dimainkan, haba di belakang tubuhnya terasa hanya suam-suam.
Bermain permainan seberat PUBG sememangnya membuatkan mana-mana telefon menjadi semakin panas kerana kuasa diambil dari bateri dari komponen lain adalah lebih banyak daripada penggunaan biasa.
Namun, untuk suhu sebegini, sistem penyejukan padanya terbukti berfungsi dengan cemerlang.
Antara ciri tambahan padanya ialah 4D Game Vibration yang memberikan sensasi getaran ketika anda menembak musuh.
Namun, tidak ada apa-apa istimewa pun dengan getaran dibawakan ciri ini. Mungkin vibration terasa sedikit ‘halus’ namun tiada yang membuatkan kami berasa kagum dengannya.
Bateri
Dari segi penggunaan bateri pula, ia mengambil sekitar 7% bateri untuk 30 minit (1 pusingan) di PUBG. Dengan kapasiti 4700mAh, secara peribadi saya prestasi ini agak baik, sama seperti kebanyakan telefon lain. Kuasa bateri diambil tidak tinggi tapi juga tidak terlalu jimat.
Antara ciri gaming lain yang disediakan vivo ialah Esports Mode, Off-screen Autoplay, eagle eye view enhancement, kustomasi kesan suara, frame-rate priority dan lain-lain yang pastinya anda juga sudah biasa dengan jenama lain.
Kesimpulan
Dengan cip Snapdragon 778G 5G, kita tidak boleh meletakkan harapan terlalu tinggi seperti telefon andalan atau gaming yang menggunakan cip siri 800 ke atas. Namun, untuk kelas pertengahan, cip ini boleh dikatakan teratas dengan prestasi terbaik pada harga lebih rendah.
vivo T1 5G ini sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai bajet tinggi tapi mahukan prestasi kelas pertengahan yang agak berkuasa.
Melalui pengalaman kami dengan vivo T1 5G dan PUBG, boleh dikatakan ia memberikan prestasi yang agak baik terutamanya segi pengurusan haba.
Tambah pula, jika anda mahukan telefon gaming dengan prestasi fotografi yang sama baik, vivo T1 5G boleh dimasukkan dalam senarai.
Tetapi, jika anda mahukan telefon gaming yang benar-benar dibina untuk penggunaan gaming, kami sarankan anda pertimbangkan telefon lain yang menggunakan cip Snapdragon 800+ ke atas dan bateri sekurang-kurangnya 5000mAh.
vivo T1 5G hadir dengan satu varian sahaja (8GB + 128GB) pada harga RM1,249. Klik sini untuk beli di Shopee atau Lazada.
Baca juga: