(Ulasan) vivo Y35 - RAM Dan Storan Besar Tetapi Setakat Itu Saja

Ulasan vivo Y35 ini hadir selepas sekitar seminggu ia berada di tangan saya. Pelancarannya tempoh hari turut sama diumumkan dengan Iman Troye sebagai duta siri Y.

  • Cip Pemprosesan – Snapdragon 680

  • Memori & Storan – RAM 8GB, storan dalaman 256GB

  • Sistem Operasi –  FunTouch OS 12 berasaskan Android 12

  • Bateri & Pengecas –  5000mAh, pengecasan pantas 44W

  • Jenis & Saiz Paparan – Paparan LCD 90Hz,  6.58 inci

  • Kamera Utama – 50MP utama,2 MP makro, 2MP

  • Kamera Swafoto – 16MP


Reka bentuk dan tubuh
(petak di sisi, 'pangkah' di belakang)



Ia datang dengan skrin berukuran 6.58" dan sisi rata di tepi namun tidak seperti iPhone 12 dan ke atas. Ini kerana apabila diteliti, anda akan nampak dua lapisan iaitu satunya kaca skrin, satu lagi badannya. vivo berkata ia menggunakan kaca 2.5D di mana ada lengkungan pada hujungnya.

Pegangnya di tangan, tidak terasa terlalu tajam kerana semua bucu masih bulat. Namun, telefon ini agak ringan. Di belakang pula, ada silauan bersilang yang dari mana pun anda lihat, ia masih sama.

Modul kamera yang gedabaknya memang mencuri tumpuan namun secara peribadi saya tidak suka dengan rekaan yang terlalu besar sebegini.

Kemasan silauan seperti 'X' pada panel belakang agak menarik. Ia menolak sangkaan telefon ini adalah telefon murah. Ada identiti dan ia tidak menjengkelkan.

RAM dan storan
(besar dan sesuai jangka masa panjang)



Untuk harga sekitar RM1100,  RAM sebesar 8GB dan storan sebesar 256GB ini berpatutan. Tak lupa juga, telefon ini boleh dimasukkan kad memori dengan kapasiti maksimum 1TB.

Untuk RAM pula, 8GB sedia ada boleh ditambah secara maya di mana 8GB daripada storan akan dikhususkan untuk berfungsi sebagai RAM tambahan.

Penggunaan saya selama seminggu dengan RAM 16GB (8GB+8GB) agak cemerlang namun biasalah, telefon baharu, aplikasi pun tidak mempunyai data besar.

Ciri RAM maya ini dihidupkan secara automatik. Saya cuba semaknya di Tetapan untuk mencuba, rupa-rupanya sudah diaktifkan secara lalai. Bagaimanapun, ia satu ciri yang bagus kerana RAM 8GB maya sememangnya jumlah yang besar.

Bateri
(kapasiti besar, caj sekejap)




Dengan bateri sebesar 5000mAh, anda pastinya menjangkakan jangka hayat yang panjang. Daripada cubaan, saya berjaya mendapat 3 jam 30 minit penggunaan skrin dalam sekali caj.

2 jam daripada itu saya habiskan dengan Netflix manakala selebihnya penggunaan ringan. Namun, telefon ini dibiarkan dalam keadaan skrin terpadam selama 9 hari.



Saya cuba lai dengan menggunakan aplikasi khas untuk menghabiskan bateri, ia berjaya bertahan selama 5 jam berterusan dengan skrin dihidupkan pada paras maksimum, Wi-Fi tersambung dan Bluetooth turut aktif.



Tapi, dengan pengecas 44W FlashCharge disediakan, telefon ini dapat dicas daripada sekitar 20% ke 100% dalam masa 1 jam saja. Ini sememangnya pantas, ditambah pula dengan paras harga sebegini.



 

Paparan
(90Hz tapi tidak ada beza besar dengan 60Hz)




vivo Y35 ini menggunakan panel LCD dan menyokong resolusi maksimum FHD+. Kadar segar 90Hz sudah menjadi spesifikasi asas telefon pertengahan hari ini.

Namun, kadar segar setinggi ini tidak berkelakuan seperti sepatutnya. Saya menggunakan peranti peribadi harian yang hanya berkadar segar 60Hz namun apabila menggunakan Y35, saya tidak mendapati perbezaan besar ketika menatalnya.

Saya hanya sedar paparannya ditetapkan pada 90Hz apabila masuk ke dalam Tetapan. Hanya apabila saya bertukar antara 60Hz dan 90Hz barulah nampak sedikit perbezaan. Akan tetapi, ia terlalu sedikit hingga saya tidak perasan. Tidak pasti apakah ia berpunca daripada panel kurang berkualiti atau perisian.

{suggest}

Kamera
(gedabak tapi sekadar atas kertas)


Sejak tangkapan kali pertama dalam kadar pencahayaan sederhana dalam bangunan, saya telah menjangka ia tidak akan menghasilkan gambar yang 'padu' atau memuaskan hati saya walapun lensa utamanya ialah 50MP.







 

Foto diambil agak kabur, tidak ada butiran terperinci apabila dizum. Dari segi penghasilan warna kadangkala okey tapi ada juga masa warnanya luntur (washed out).



 



Prestasi potret pula agak baik dalam situasi biasa.



Ringkasnya, kameranya walaupun dengan lensa 50MP, agak mengecewakan.

Kesimpulan




Untuk sebuah telefon spesifikasi pertengahan, ia tidak ada apa-apa istimewa yang menjadikannya unik berbanding telefon dalam kelasnya. Namun, jika anda mahu belikannya untuk warga emas ataupun anak-anak di sekolah, memang tiada masalah.

Dari segi storan memang sangat sesuai untuk jangka masa panjang kerana storan dalamannya yang besar di samping turut menyokong kad memori sehingga 1TB.
Klik SINI untuk beli di Shopee. Klik SINI untuk beli di Lazada.

Beli jika:

  • anda cari telefon kelas pertengahan dengan kemasan belakang yang cantik.

  • anda titik beratkan RAM dan storan.

  • anda tidak pentingkan 90Hz sebagai ciri utama.

  • anda mahu telefon kelas ini dengan pengecasan pantas.


Jangan beli jika:

  • anda mahukan peranti kelas pertengahan dengan prestasi terbaik semua aspek.

  • anda sangat pentingkan kadar segar 90Hz.

  • anda tidak suka rekaan takuk 'water drop'.

  • mahukan telefon kelas pertengahan dengan kamera yang okey atau bagus.