Siri vivo X80 baru saja dilancarkan di Malaysia bermula pada harga RM3,499. Model dengan spesifikasi tertinggi dalam siri ini ialah vivo X80 Pro yang berharga RM4,999 dan ia akan diulas lanjut di bawah.
Dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 1, RAM padanya sebesar 12GB manakala storan 512GB dengan bateri berkapasiti 4700mAh.
Sistem operasinya pula berdasarkan Android 12 dengan FunTouch OS 12.
Di bahagian hadapan, ia disertakan 6.78 inci skrin E5 LTPO 2.0 AMOLED dengan 120Hz dan resolusi QHD+.
Menjadi tumpuan siri ini ialah kameranya. 4 kamera di belakang dan 1 di hadapan ialah seperti berikut:
-
- 50MP (ISOCELL GNV), 1/1.3″, f/1.57
-
- 48MP (IMX598) sudut lebar, 1/2.0″, f/2.2
-
- 12MP (IMX663) 2x zum, 1/2″, f/1.8
-
- 8MP 5x zum, f/3.4
-
- 32MP swafoto
Kesemua kamera pada siri ini disalut dengan ZEISS *T dan dibantu cip pemproses imej vivo V1+.
Baterinya pula sebesar 4,700mAh dengan pengecasan pantas 80W. Ia juga menyokong pengecasan tanpa wayar dengan kelajuan sehingga 50W.
Dalam kotak, selain telefon anda akan juga diberikan pengecas berkelajuan 80W, kabel USB-C, pelindung dan earphone.
Tubuh, Skrin
Pertama kali memegangnya keluar dari kotak, satu perkataan terpacul ialah “Berat”. Ini menambahkan rasa premium, sesuai dengan tanda harganya.
Secara peribadi, saya memang sukakan skrin lengkung berbanding rata jadi bagi rasa nilai premiumnya sekali lagi ditonjolkan melalui rekaan ini.
Antara yang menjadi keunikan telefon ini ialah tekstur pada panel belakangnya. Ia seperti baldu namun berkali ganda lebih halus. Jadi, saya sendiri keliru semasa meraba-raba cuba menikmati kehalusan bahan ini.
Ia nampak bergemerlapan dan memang semua menjangka akan terasa sedikit kasar jika menyentuhnya tapi jangkaan itu jauh meleset. Mudah kata, tampak kasar tapi rasa macam kain.
‘Kerangka diberikan pula diperbuat daripada plastik jadi dari segi rasa apabila memegangnya tidaklah ada apa-apa yang istimewa. Cuma, ia kelihatan seperti kulit.
Ciri Lain – Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jarinya menggunakan teknologi ultrasonik. Cubaan membuka peranti dengannya sangat pantas, berbeza dengan pengimbas biasa.
Bukan saja pantas bahkan kawasan yang diliputinya juga luas. Saya tidak perlu tekan jari seperti telefon yang menggunakan teknologi biasa. Hanya letakkan secara santai, terus peranti dinyahkunci.
Penanda aras
Kami menggunakan AnTuTu 3DBenchmark dan Geekbench 5 bagi anda yang suka benar mengukur prestasi melalui aplikasi penanda aras.
Fotografi
Anda boleh lihat sendiri kesemua mod dan ciri yang disediakan telefon ini.
Salutan T* pada lensanya sangat membantu di mana antara fungsinya ialah menghilangkan silau atau ‘glare’ terutamanya jika anda ambil gambar waktu malam.
Perbezaan dibawakan lensa ZEISS ialah ia menjadikan warna gambar nampak lebih semula jadi. Lazimnya, gambar yang diambil tanpa fungsi ZEISS akan hadir dengan warna yang agak pekat atau ‘saturate’.
Mod biasa
Kadangkala, saya lebih suka kepekatan warna dengan mod biasa kerana ia nampak hidup dan lebih ‘ceria’. Kepekatan padanya tidaklah nampak melampau sehingga nampak mengada-ngada.
Untuk makluman, saya langsung tidak menggunakan mod Pro seperti menyelaraskan white balance, ISO, shutter speed dan lain-lain. Semua gambar yang saya ambil melalui mod biasa. Yang diubah hanya kadar boker iaitu bukaan apertur, dan ia terus tersedia tanpa perlu masuk ke mod Pro.
Zum
Swafoto
Secara peribadi saya bukanlah penggemar kamera hadapan, jadi apa-apa saiz megapiksel tidak menjadi sebarang masalah bagi saya.
Lensa hadapan x80 Pro ini seperti dijangka membawakan kepuasan untuk pemiliknya. Saya tidak mempunyai banyak komen untuk prestasi kamera swafotonya.
Gambar-gambar ini pun saya paksa diri demi sebuah ulasan untuk tuan-tuan dan puan-puan.
ZEISS
Dengan ZEISS, warnanya nampak lebih pudar tetapi bukanlah dari sudut negatif kerana ia lebih padan dengan keadaan sebenar. Jadi, tidak ada isu warna tampak kusam atau lain-lain sebaliknya nampak semula jadi.
Mod potret
Apa yang saya paling gemar ialah mod potretnya, walaupun menggunakan zum 2x dan 5x, hasilnya tak ubah seperti zum 1x (biasa).
Dalam zum 5x, terasa juga ia agak susah dalam pemfokusan subjek. Jadi, zum 2x ialah yang terbaik selain zum 1x.
Bagi mod Photo biasa juga sangat bagus. Warnanya anda boleh pilih sama ada yang semula jadi dengan aktifkan ‘ZEISS’ atau yang ditala vivo.
Hasilnya, gambar yang diambil tampak seolah-olah ia diambil daripada kamera DSLR walaupun tidaklah sesempurna peranti itu.
Saya fikir jika saya gantikan watermark vivo X80 Pro dengan jenama media, pasti orang percaya ia gambar rasmi daripada jurugambar bertauliah.
Gambar malam
Dengan bantuan salutan T*, silau daripada lampu jalan dan sebagainya langsung tidak wujud. Dari segi butiran dan warna juga sangat baik dimana perinciannya dikekalkan (walaupun pada zum 5x) dan warna tidak ditambah-tambah kepekatannya.
Sekali imbas, kualitinya sama seperti gambar siang — mengagumkan. Gambarnya terang, noise yang seolah-olah tidak wujud walaupun pencahayaanya rendah serta warnanya cuma sedikit dipekatkan.
Antara yang menjadi ‘masalah’ dengan kamera vivo x80 Pro ini ialah walaupun dalam keadaan cahaya yang sangat rendah, preview yang anda dapat lihat sangat terang bahkan selepas gambar diambil pun sangat terang.
Boleh diumpamakan ciri mod malam atau Night mode padanya tidak diperlukan langsung. Jika dibandingkan dengan telefon lain, pastinya kita berasa bahawa gambar x80 Pro ini diambil dalam mod malam sedangkan realitinya mod biasa.
Jadi, dalam mod malam sekalipun, nampak banyak beza dengan mod biasa.
Video
Tiga mod penstabilan diberikan ialah standard, horizontal dan ultra.
Merakam video semasa berjalan, mod standard masih menampakkan sedikit pergerakan namun mod ultra paling stabil dan nampak lancar antara ketiga-tiga. Pun begitu, mod ultra ini terhad pada 1080p, tidak tersedia untuk 4K.
Mod horizontal pula paling mengecewakan kerana dari segi butiran dan dynamic range, agak teruk. Bahkan dari segi kestabilan pun tidak banyak beza dengan standard.
Seperti iPhone 13, ia hadir dengan mod Cinematic tetapi dengan ZEISS. Antara perbezaan ketaranya ialah warna yang lebih dramatik, nisbah lebih panjang serta mod fokusnya yang menumpukan secara automatik apabila mengesan manusia.
Secara kesuluruhan, bagi penggunaan biasa tiada sebarang masalah dan agak memuaskan. Warnanya cukup pekat, sangat terang dan nampak lancar.
Prestasi dan Bateri
Secara keseluruhan, semua operasi dijalankan pada telefon ini berjalan sungguh lancar tanpa sebarang lengah atau isu lain. Membuka aplikasi, beralih antaranya, semuanya terasa ‘terjamin’ seakan-akan tidak ada akan isu wujud padanya.
Kalau pengguna Xiaomi akan merungut tentang MIUI, namun tidak FunTouch OS. Ia stabil, terjalin elok dengan perkakasan yang lain. Ada juga terasa perbezaannya berbanding peranti vivo kelas pertengahan walaupun antara muka yang sama.
Saya telah memperuntukkan keseluruhannya sekitar 1 jam bermain kamera melalui tangkapan dan rakaman. Hasilnya, baterinya memakan sebanyak 36% untuk tempoh itu.
Namun, ini dapat difahami kerana pemprosesannya untuk imej serta video yang berkualiti tinggi sememangnya mengambil kuasa yang lebih. Suhu dihasilkan juga agak tinggi ketika menggunakan kamera.
Mencubanya pada Apex Legends, saya mendapati sekitar 5% bateri digunakan untuk 20 minit (satu pusingan penuh). Ini cukup baik tambah pula pada peranti yang tidak diiklankan untuk gaming.
Gaming
Alang-alang ia menggunakan cip kelas andalan terbaru, rugi pula saya tidak cuba pada game baharu, Apex Legends. Ternyata ia tidak mengecewakan.
Prestasi grafik dan kelancarannya tidak syak lagi memanfaatkan kepakaran 8 Gen 1 dengan tetapan tertinggi.
Suhunya memang saya rasakan meningkat namun ia masih selesa dipegang. Jadi, masalah penghasilan haba tidak jadi isu di sini.
Kesimpulan
Saya amat kagum dengan kemampuan kamera yang dibawakan model x80 Pro ini. Bukan sahaja untuk mod biasa, bahkan kekuatannya juga ialah potret dalam mod zum, gambar dalam pencahayaan rendah serta rakaman videonya. Prestasi kameranya tidak segan untuk katakan – sangat bagus.
Menariknya, bukan saja model terbaharu dalam siri X ini hanya menumpukan terhadap fotografi semata-mata kerana vivo meletakkan Snapdragon 8 Gen 1, tidak seperti abang kakaknya sebelum ini.
Jadi, untuk prestasi dan untuk kegunaan ‘gaming’, tidak ada masalah. Apatah lagi kegunaan biasa jika anda seorang yang bukan ‘gamer’. Tiada langsung masalah lag, antara muka dan sebagainya timbul sepanjang penggunaan saya.
Jadi, jika anda mahukan peranti harian atau ‘daily driver’ dengan kemampuan fotografi yang benar padu, tak syak lagi ini calon teratas. Dengan tubuh yang kukuh dan berat dan ciri tambahan seperti pengecasan berbalik, ia memang layak dijadikan peranti harian.
Teruskan bersama kami sebuah lagi artikel khas untuk anda jamu mata dengan puluhan gambar daripada telefon ini.
Baca juga: