(Ulasan) Canon MAXIFY GX7070 - Pencetak 4 Dalam 1 Berkapasiti Tinggi Untuk Pejabat Kecil

Buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Wiser My, kami menerima sebuah unit pencetak berjenama Canon untuk diulas.

Ia adalah model Canon MAXIFY GX7070 daripada jenis InkJet dengan tangki dakwat di dalamnya.

Seperti pencetak 4 dalam 1 yang lain, ia boleh mencetak daripada komputer atau melalui Wi-Fi, fotostat, imbasan dan faks.

Dalam kotak, anda juga mendapat botol-botol dakwat.

Menurut Canon, ia sesuai untuk cetakan dokumen dalam kuantiti tinggi (high volume).

Rekaan



Ia betul-betul datang dalam bentuk petak, memenuhi ruang kotaknya namun bersaiz kompak.

Dengan beratnya, kita dapat jangka ia mempunyai ketahanan seperti mesin fotostat dengan keupayaan yang lebih berbanding pencetak untuk kegunaan peribadi atau rumah.



Ia mempunyai 2 talam (tray) kertas. Jadi, pengguna boleh memuatkan sehingga 600 helai kertas sekaligus.

Paparan LCD pada pencetak juga responsif dan tidak ada masalah lengah (lag) setakat pengalaman kami menggunakannya.

Isian dakwat




Dakwat pigment digunakan bersifat cepat kering dan kalis pudar serta anda tidak perlu risau jika air tertumpah pada kertas.

Menariknya, anda tidak perlu risau jika tersalah isi dakwat. Hal ini kerana setiap botol dan tempat dakwat tersebut mempunyai padanan bentuk yang berbeza.

Jadi, anda boleh berasa lebih yakin ketika mengisi dakwat.



Dengan mod ekonomi, ia boleh mencetak sehingga 9,000 helaian hitam putih dan 21,000 halaman berwarna.

Dalam mod biasa, Canon berkata ia boleh mencecah 6,000 untuk hitam putih dan 14,000 berwarna.

Sambungan



Seperti pencetak dengan kelas harga sebegini, ia menyokong sambungan melalui USB dan Wi-Fi. Untuk Wi-Fi, anda juga boleh pilih untuk hidupkan ciri Wi-Fi Direct juga tidak mahu ia disambungkan pada rangkaian Wi-Fi sedia ada.

Sewaktu mencetak daripada iPhone terus daripada Photos pula melalui Wi-Fi, saya dapati ada isu di mana proses cetakan tersekat ketika mencetak. Ia seolah-olah menunggu data daripada telefon.  Saya tidak pasti apakah ia masalah sambungan dengan iPhone sendiri atau kualiti rangkaian Wi-Fi.



Namun apabila dicuba dengan peranti Android seperti Sambung, cetakan berjalan dengan lancar.

Mudah, anda tidak perlu pasang aplikasi pihak ketiga pun untuk cetak daripada telefon walaupun boleh saja jika anda mahu.

Cetakan melalui USB komputer riba juga berjalan lancar sama seperti pencetak-pencetak lain.

Cetakan


Kata Canon, kelajuan cetakanna ialah sekitar 124 IPM untuk cetakan hitam putih manakala 15.5 IPM untuk berwarna.

Pertama kali kami cuba mencetak dengan peranti ini, dakwat pada kertas nampak bergaris-garis. Ia sangat jelas dan 'menyakitkan' mata. Anda dapat lihat pada gambar di bawah, CEO Yes merasmikan kedai Yes di Bukit Bintang.

Saya anggap ia disebabkan dakwat yang baru pertama kali digunakan kerana masalah ini selesai dengan sendiri pada beberapa cetakan selepasnya.



Menggunakan bahan yang sama, gambar di bawah menunjukkan cetakan pertama (bawah) dan beberapa kali selepasnya (atas).



Daripada segi warna, boleh dikatakan ia memuaskan bagi sebuah pencetak InkJet.

Namun, kadang kala ada cetakan yang menampakkan garis-garis walaupun kurang jelas terutamanya jika kawasan berdakwat hitam itu besar.

Perbezaan kontras juga dapat diuruskan dengan baik lantas menampakkan foto dicetak kelihatan sedikit realistik.

Seperti anda dapat lihat di bawah, gambar mi kolok ini agak tajam dan perbezaan kontrasnya agak baik hingga ia nampak seakan-akan foto daripada skrin, walaupun tidaklah 100%.



Selain gambar diambil daripada kamera dan telefon, kami cuba mencuba cetak imej digital dibuat daripada komputer seperti imej Tony Fernandes dalam gambar dalam templat untuk Instastory akaun Instagram Wiser.



Dari segi warna, ia agak baik walaupun dalam foto di atas seolah-olah pudar. Dalam situasi sebenar, warna jingga tersebut lebih pekat. Sedikit mengecewakan ialah penampakan garis-garis cetakan.

Selain itu, di bawah pula contoh gambar asal poster Black Adam daripada internet dan hasilnya apabila dicetak.





Seperti dikatakan, apabila banyak kawasan berdakwat hitam, ada beberapa helaian menunjukkan ada garis-garis cetakan walaupun tidak terlalu ketara.

Untuk gambar digital atau dicipta dari komputer, ia tidaklah 100% sama seperti imej pada peranti, namun warna pada helaian kertas boleh dianggap agak baik.

Kesimpulan




Harga RM2,699 boleh dikategorikan agak tinggi untuk individu. Untuk makluman, jaminan ditawarkan ialah selama 2 tahun.

Tambah-tambah kalau anda mahu gunakannya di rumah untuk kegunaan peribadi, ia agak mahal dan pastinya jauh daripada bajet.

{suggest}

Jika syarikat anda masih kecil tetapi mahukan pencetak 'high volume' yang agak kompak, Canon MAXIFY GX7070 antara model yang boleh anda cari di kedai.

Selain itu, mereka yang mempunyai perniagaan atau pejabat yang perlu pencetak untuk kegunaan berat tetapi ruang yang terhad, pencetak ini boleh masuk senarai jika mempunyai bajet yang agak besar.

Jika anda berminat, boleh dapatkannya melalui Shopee di SINI.

Sebelum itu, anda boleh ketahui spesifikasinya yang lebih terperinci di laman web Canon di SINI.

Berkaitan