Siri Reno daripada OPPO boleh saya katakan antara model yang popular bagi jenama OPPO. Ini kerana fokus yang dibawakan mereka setiap tahun, iaitu rekaan dan juga kameranya.
Akan tetapi, Reno12 Pro 5G tahun lalu sangat mengecewakan saya. Bagaimanapun, saya lihat kali ini ia memberi peningkatan berbanding sebelum ini. Jadi, ini pandangan jujur saya tentang OPPO Reno13 Pro.
Rekaan dan skrin
Pertama sekali, bila pegang OPPO Reno13 Pro ni memang terus terasa premium. Frame aluminium jenis aerospace-grade buatkan telefon ini rasa kukuh dan sedap digenggam. Terdapat dua pilihan warna menarik kali ni, iaitu Graphite Gray dan Plume Purple, dua-dua cantik di mata saya.
Yang lagi menarik, OPPO Reno13 Pro siap ada penarafan IP69, maknanya telefon ni boleh masuk air sedalam 2 meter hingga 30 minit tanpa masalah. OPPO siap bagi jaminan underwater lagi untuk tambah keyakinan anda. Uniknya, kalau nak keluar dari underwater mode, anda kena tekan lama-lama pada power button dan telefon ni akan keluarkan bunyi kuat untuk keluarkan sisa air dalam speaker.
Walaupun binaan dah cukup bagus, saya rasa rekaan modul kamera Reno13 Pro ni kurang menarik, nampak tak cukup premium dengan harga RM2,999. Kalau dibandingkan dengan Redmi Note 14 Pro+, rekaan kamera Redmi jauh lebih nampak kemas dan polished. Tapi ini mungkin subjektif ikut cita rasa masing-masing.
OPPO Reno13 Pro guna skrin AMOLED sebesar 6.83 inci dengan resolusi 1.5K. Skrinnya juga menyokong kadar segar semula 120Hz dan HDR10+. Untuk kegunaan harian macam layan YouTube, Netflix atau media sosial memang sangat memuaskan. Warna yang keluar jelas, terang, dan cantik. Dengan kecerahan maksimum 1200 nits, guna bawah cahaya matahari pun tak ada masalah langsung.
Prestasi
Telefon ni dikuasakan cip terbaru daripada MediaTek, iaitu Dimensity 8350. Bila digabungkan pula dengan ColorOS 15, pengalaman penggunaan memang lancar, stabil dan mesra pengguna. Tambahan lagi, OPPO berikan jaminan kelancaran selama 60 bulan (5 tahun). Ini bermakna, walaupun anda guna telefon ni dalam jangka masa panjang, prestasinya akan kekal smooth tanpa rasa perlahan.
Untuk kegunaan harian seperti aplikasi media sosial atau menonton filem memang sangat selesa. Tetapi kalau anda nak beli telefon ni khusus untuk gaming berat macam Genshin Impact, mungkin kena turunkan sedikit tetapan grafik kerana cip Dimensity 8350 bukanlah cip terbaik untuk permainan berat jangka panjang.
Kamera dan AI
Sistem kamera OPPO Reno13 Pro kali ini sangat menarik. Ia dilengkapi kamera utama 50MP dengan sokongan OIS, kamera telefoto periskop 50MP, ultralebar 8MP, dan kamera swafoto 50MP. Menariknya, kamera kali ini dilengkapi pelbagai fungsi pintar berasaskan AI seperti AI Editor, Reflection Removal, serta fungsi unik seperti AI Portrait, AI Reimage dan AI Motion.
Antara yang paling menarik perhatian saya ialah fungsi AI Best Shot di mana anda boleh pilih foto terbaik selepas mengambil gambar banyak-banyak. Lagi menarik, anda boleh guna fungsi seperti AI Eraser untuk padam objek tak diingini dalam gambar, dan Reflection Removal untuk buang pantulan cermin dalam gambar—ini memang ciri berguna untuk mereka yang suka fotografi.
Hasil gambar daripada kamera OPPO Reno13 Pro memang bagus, terutamanya pada waktu siang. Warna tepat, gambar jelas dan tajam. Untuk penggambaran waktu malam pula, prestasi masih memuaskan walaupun ada sedikit noise kalau keadaan terlalu gelap. Kesimpulannya, untuk penggunaan harian termasuk media sosial, kamera Reno13 Pro ni memang cukup baik.
Ada satu ciri yang jarang saya jumpa dalam telefon Android sebelum ini—fungsi Touch to Share, yang membolehkan anda berkongsi fail dengan peranti iPhone. Biasanya fungsi ni terhad kepada pengguna Apple sahaja melalui AirDrop, tapi kini pengguna Android pun boleh rasa ciri serupa. Memang berguna kalau kawan anda guna iPhone, nak kongsi fail dah tak pening lagi.
Dari segi hasil gambar, saya tak nafikan warna yang dihasilkan oleh kamera OPPO Reno13 Pro ini memang terang dan jelas. Detail pada gambar juga kelihatan sangat tajam, tidak ada isu blur di mana-mana bahagian. Jika anda mengambil gambar di luar pada waktu siang, semua elemen dalam gambar memang kelihatan jelas dan cantik.
Untuk situasi cahaya rendah atau waktu malam pula, hasil gambar masih lagi memuaskan. Walaupun terdapat sedikit noise, secara keseluruhan pencahayaan masih agak baik dan boleh diharapkan. Cuma, bila ada cahaya lampu yang terlalu terang, isu lens flare nampak agak ketara. Bila dah nampak flare yang terlalu jelas, sedikit sebanyak mencacatkan kualiti gambar malam yang diambil. Ditambah lagi dengan kehadiran noise, gambar malam jadi kurang ‘bersih’.
Kalau jenama telefon lain sudah mula tawarkan ciri AI atau software khas untuk kurangkan isu flare dan noise, saya rasa OPPO pun patut lebih tekankan ciri sebegini untuk generasi seterusnya. Mungkin dengan sedikit penambahbaikan pada perisian kamera, OPPO Reno13 Pro mampu hasilkan gambar malam yang jauh lebih baik pada masa akan datang.
Bateri dan pembesar suara
Dengan kapasiti bateri sebesar 5800mAh, telefon ni mampu bertahan sehari suntuk tanpa masalah. Apa yang lagi best, OPPO Reno13 Pro dilengkapi pengecasan pantas 80W yang boleh cas penuh dalam masa kurang sejam. Jadi kalau anda jenis selalu terlupa cas fon malam, jangan risau sangat sebab pengecasan pantas dia sangat membantu dalam situasi kecemasan.
Telefon ini turut ada pembesar suara stereo, bunyinya kuat dan jelas. Kalau anda suka tengok movie atau main game tanpa guna earphone, bunyi daripada telefon ni memang cukup memuaskan.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, OPPO Reno13 Pro ni memang ada banyak kelebihan menarik yang boleh membuatkan anda tertarik—contohnya skrin AMOLED yang terang dan jelas, ketahanan kalis air IP69 yang jarang ada dalam kelasnya, kamera yang lengkap dengan ciri AI canggih, serta bateri tahan lama dengan pengecasan pantas.
Walaupun banyak perkarara positif, ada dua perkara yang bagi saya secara peribadi agak kurang menarik. Pertama, rekaan modul kamera belakangnya nampak kurang premium dan mungkin kurang sesuai dengan harga yang ditawarkan OPPO kali ini.
Kedua, adalah harga. Dengan harga jualan RM2,999, ia agak tinggi untuk kategori telefon pertengahan, walaupun dilengkapi spesifikasi hampir menyamai andalan. Tapi kalau anda rasa harganya masih berpatutan dengan apa yang ditawarkan, OPPO Reno13 Pro masih lagi pilihan yang baik.
{suggest}