Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) OPPO Reno12 Pro 5G – Rekaan Lama, Prestasi Baik Tapi AI Biasa

Posted on Jun 28, 2024Julai 1, 2024

Di dalam kemeriahan pelancaran serta pengumuman produk berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) daripada pelbagai jenis syarikat elektronik yang berjenama di seluruh dunia, OPPO juga ingin menyertai kesemarakannya itu dengan melancarkan produk terbaru yang akan masuk dalam barisan siri Reno mereka iaitu OPPO Reno12 Pro 5G.

Namun, kehangatan yang cuba diteruskan oleh OPPO itu jujur saya katakan telah menyejukkan suasana pelancaran peranti-peranti yang giat berkembang maju di seluruh dunia ini apabila peranti terbaru mereka itu diperkenalkan.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang ditawarkan oleh peranti ini sehingga ia mampu menawarkan ‘air sirap yang manis’, sila ikuti inti pati ulasan saya ini sehingga ke penghujungnya.

Spesifikasi

[specs]
Cip: MediaTek Dimensity 7300-Energy

Memori: 12GB RAM LPDDR4X

Storan: 256GB UFS 3.1

GPU: Arm Mali-G615

Sistem operasi: ColorOS 14.1, Android 14

Skrin: Fleksibel AMOLED 6.7 inci, 120Hz, 2412 × 1080, Corning Gorilla Glass Victus 2

Kamera: Utama 50MP Sony LYT600, telefoto 50MP, swafoto 50MP

Bateri: 5,000mAh, pengecasan 80W SUPERVOOC

Lain-lain: Dwi-slot kad SIM, mikroSD 1TB, NFC, Bluetooth 5.4, IR Blaster, Wi-Fi 6, pengimbas muka dan cap jari
[/specs]

{suggest}

Rekaan

Seperti biasa, kita akan mulakan dengan reka bentuk luaran bagi OPPO Reno12 Pro ini yang mana secara jujurnya perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya apabila diserahkan peranti ini adalah “Eh? Ringannya!”.

Itu adalah satu perkara yang saya tak akan nafikan namun setelah dibelek berkali-kali, rekaannya ini hampir serupa dngan pendahulunya iaitu OPPO Reno5 dari sudut modul kamera.

Cuma ia hadir dengan modul lensa yang lebih besar dan kedudukan lampu flash yang dahulunya di bawah dan sekarang diletakkan di atas.

Bagi pendapat saya walaupun kepakaran saya bukan di bahagian rekaan, ini adalah satu turun taraf yang tidak patut dipraktikkan oleh pihak OPPO jika kita bandingkan ia dengan OPPO Reno11 Pro 5G secara bersebelahan.

OPPO Reno12 Pro 5G
OPPO Reno11 Pro 5G

Di sini saya akan membuat anggapan yang OPPO ingin ‘mengenang kembali’ asal usul mereka dengan mengaplikasikannya melalui keluaran telefon pintar yang baharu dengan rekaan yang lama. Akan tetapi, adakah ia mempunyai prestasi yang lebih baik daripada pendahulunya?

Prestasi

Soalan di atas akan saya jawab berdasarkan pengalaman sepanjang penggunaan dan bukannya dari sudut penampilan antara muka untuk telefon ini.

Jikalau ingin saya bahas tentang penampilannya, apa yang boleh saya kaitkan adalah telefon ini seperti guru-guru di sekolah yang memakai baju uniform rasmi sekolah seperti murid-murid lain untuk mengenang jasa mereka sendiri pada majlis sambutan Hari Guru.

Erti kata lainnya, suasana dalaman telefon ini masih lagi menampilkan penggunaan ikon yang kurang menarik tapi mudah untuk dikesan serta dinavigasi.

Dari sudut penggunaan yang berlapis-lapis seperti membuka banyak aplikasi secara berperingkat yang berterusan, sekatan animasi kerana cip pemprosesan perlu memproses banyak input yang masuk itu tidak pula kelihatan walaupun sekali.

Namun, ini bukan lesen untuk berasa selesa kerana cip yang digunakan bukanlah antara keluaran yang terbaik dan anda juga perlu tahu terhad sesuatu telefon pintar itu berdasarkan spesifikasi yang ditawarkannya.

Sebagai contoh dalam ujian bermain permainan mudah alih yang saya lakukan dengan menggunakan permainan Mobile Legends, saya hanya membiarkan tetapannya pada kualiti ‘High‘ sahaja.

Hal ini kerana saya tahu jika telefon ini dipaksa untuk menggunakan tetapan ‘Ultra‘, suhunya akan meningkat secara mendadak walaupun dengan penggunaan selama 30 minit.

Walhal, saya masih lagi dapat merasai pengalaman bermain yang tidak mengecewakan dari segi suhu, pemerhatian animasi dan juga kadar penggunaan bateri yang tidak terlalu keterlaluan untuk sesi permainan selama 30 minit.

Kamera

Seperti yang telah saya jelaskan di pendahuluan, OPPO Reno12 Pro 5G ini adalah sebuah peranti yang menekankan tentang penggunaan ciri kecerdasan buatan yang meliputi hampir seluruh kaedah penggunaan.

Hal ini tidak terkecuali juga untuk bahagian kamera kerana hasil gambar daripada mod potret swafoto terutamanya akan menghasilkan kualiti yang dicantikkan daripada teknologi itu dari sudut pencahayaan malah rupa bentuk muka seperti saiz pipi, mata dan lain-lain juga tidak dikecualikan.

Walhal begitu, hasil gambar di bawah ditangkap daripada mod potret kamera belakang dan hanya satu daripadanya adalah mod potret swafoto.

Mod Potret
Mod Potret
Mod Potret
Mod Potret Swafoto
Mod Potret
Mod Potret

Kualitinya boleh saya cakap agak memuaskan daripada model yang terdahulu iaitu OPPO Reno11 Pro 5G dan kalau tidak, ia tidak layak untuk dicipta dan mewarisi model Reno yang terdahulu dari sudut prestasi kamera.

Anda juga boleh teliti kualiti potongan bokeh serta fokus lensa kameranya antara subjek dan latar belakang kurang menampilkan cacat cela yang terserlah dengan pandangan mata kasar.

Perkara yang sama juga dapat diperhatikan pada gaya tangkapan gambar secara bebas seperti di bawah.

Telefon ini mampu untuk mengesan dan menangkap subjek yang sedang bergerak tanpa memberikan hasil yang kabur untuk situasi tertentu seperti orang yang sedang lompat, air ditiup angin mahupun tangan yang bergetar.

Tidak lupa juga yang saya ada sediakan contoh hasil gambar dalam bentuk landskap di bawah ini untuk memberikan banyak lagi ruang dalam memperlihatkan lagi kebolehan sebenar prestasi kamera daripada OPPO Reno12 Pro 5G ini.

Ciri Tambahan

Seterusnya, kita akan masuk ke bahagian atau ciri terakhir yang ditekankan oleh OPPO sendiri untuk model Reno12 Pro 5G ini yang mana ia dijangka bakal memberi kemudahan kepada penggunanya dari sudut kerja-kerja asas seharian dengan telefon bimbit.

Walau bagaimanapun, ada di antaranya yang berguna malah ada juga yang kurang memberikan kesan yang efektif sedangkan ciri itu adalah perkara yang paling ditekankan dalam pemasaran untuk produk ini.

Ciri yang saya maksudkan itu adalah ciri ‘AI Eraser‘ yang boleh diakses melalui platform Photos.

Sudah tentu anda telah menggambarkan ciri pemadaman objek dan juga rupa bentuk manusia sama seperti ciri kecerdasan buatan Samsung, Galaxy AI atau Google Magic Eraser. Akan tetapi, hasilnya tidaklah sebaik dengan apa yang pihak OPPO banggakan.

https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2024/06/21090548/VID_20240620161638.mp4

Seperti yang dipertontonkan dalam rakaman skrin di atas, hasil daripada pemadaman ‘AI Eraser: Remove People‘ adalah sedikit mengecewakan kerana terdapat beberapa kesan yang tidak berapa sesuai untuk dipamerkan kepada pihak umum walaupun di media sosial.

Hal ini kerana ia akan memperlihatkan seseorang individu itu sebagai salah seorang individu daripada golongan yang tidak profesional dalam menangkap gambar mahupun menyunting hasil gambar.

Perkara yang sama juga dapat dilihat pada ‘AI Eraser: Smart Lasso‘ namun ditambah pula dengan ketidakcekapan untuk mengesan objek yang ingin dipadam dengan lebih baik.

https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2024/06/21090539/VID_20240620161408.mp4

Tambahan, terdapat banyak lagi ciri kecerdasan buatan yang disediakan khas untuk telefon ini sebenarnya tetapi belum lagi boleh diakses kerana ia perlu menunggu kemas kini perisian dalamannya yang akan menyusul selepas pelancarannya.

Salah satunya adalah ‘AI Best Face‘ dan ‘AI Clear Face‘ yang bakal memainkan peranan untuk mencantikkan lagi hasil gambar anda sama ada melalui mod tangkapan standard ataupun potret. Fungsi ini mirip yang ada pada peranti Google Pixel.

Namun begitu, setiap kekurangan sesuatu perkara itu pasti akan ada baiknya walaupun ia kelihatan kecil di mata orang lain tetapi besar khidmatnya untuk orang macam saya.

Ciri itu dinamakan sebagai ‘AI Recording Summary’ yang mana bagi saya ia adalah ciri kecerdasan buatan yang paling tidak dijangka akan berkesan dengan sangat baik.

Mungkin kerana ciri ini dicipta berasaskan Google Gemini Ultra sehingga mampu untuk memberikan hasil yang memberangsangkan.

Apa-apapun, konsep penggunaan ciri ini adalah semudah merakam suara ucapan, perbualan malah apa-apa jenis percakapan melalui platform Recorder.

Setelah itu, tekan butang ‘Summary‘ di sebelah kiri butang ‘Mark‘ dan ciri AI ini akan merumuskan isi-isi daripada rakaman suara itu menjadi ayat-ayat yang berasingan mahupun dalam susunan simbol tanda peluru (bullet point) seperti di bawah.

https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2024/06/21090553/VID_20240620175602.mp4

Untuk menguji ciri ini, saya telah menggunakan klip YouTube Short tentang situasi di mana pelakon Johnny Depp sedang menghadiri perbicaraan di mahkamah dan jujur saya katakan, kejituan rumusan yang diperlihatkan untuk pengguna adalah tidak mengecewakan.

Saya juga merasakan ia adalah satu kemudahan yang wajar digunakan oleh individu yang berjawatan sebagai seorang penulis malahan juga pelajar di universiti mahupun sekolah menengah.

Perkara lain yang perlu diambil perhatian adalah ciri ini hanya mampu menyokong sebanyak tiga bahasa sahaja buat masa sekarang iaitu bahasa Inggeris, Cina dan Hindi serta jumlah perkataan sebanyak 45,000 patah sahaja dan ia dikatakan bakal dipertingkatkan pada masa akan datang.

Kesimpulan

Di sini saya ingin membuat satu kenyataan yang sangat penting di mana peranti OPPO Reno12 Pro 5G yang saya gunakan untuk artikel ulasan ini adalah tidak sempurna dari sudut perisian dalaman serta sistem operasinya yang mana ibarat separuh masak. Ia mungkin berbeza pada anda.

Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana perkara ini telah pun dijelaskan oleh pihak OPPO sendiri yang mana peranti OPPO Reno12 Pro 5G ini masih lagi berada dalam keadaaan 80 peratus sempurna kerana kemas kini baharu itu akan menyusul pada pertengahan bulan Julai 2024.

Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan nama model telefon yang tertera di tera air hasil gambar yang menggunakan nombor unit ‘CPH2629’ dan bukannya OPPO Reno12 Pro 5G. Sama juga apabila kita lihat di halaman ‘About Phone‘.

Namun begitu, saya rasa masalah ini akan dapat diselesaikan setelah OPPO melancarkan kemas kini yang dimaksudkan mereka untuk telefon ini.

Sekurang-kurangnya, tunggu sehingga bulan Ogos 2024 tiba sebelum wang anda ‘dibazirkan’ untuk peranti yang belum sempurna sifatnya untuk kegunaan harian.

Kepada yang masih lagi berminat, OPPO Reno12 Pro 5G boleh dibeli melalui pautan gedung dalam talian di bawah.

Shopee – https://invl.io/clks91f

Lazada – https://invol.co/clks91l

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress