Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil secara rasmi melancarkan Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) yang kini dikenali sebagai MySiren, bagi memperkukuh penyampaian amaran kecemasan kepada orang ramai dengan lebih pantas dan berkesan.
Dibangunkan oleh MCMC, MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan disiarkan secara serentak kepada pelbagai telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang ditetapkan.

Menerusi teknologi ini, amaran boleh disampaikan dalam tempoh kurang daripada satu minit kepada peranti yang berada di kawasan terjejas.
“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS, di mana pesanan dihantar kepada nombor penerima, sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna… Kalau SMS, dia akan melalui queue daripada telco. Ini dia bypass telco, terus kepada apa disebut… sebagai alat pemancar, semua menara telekomunikasi bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Salah satu kelebihan sistem ini ialah pengguna tidak perlu memasang aplikasi tambahan atau membuat sebarang pendaftaran untuk menerima amaran. Penerimaan amaran MySiren juga tidak memerlukan data mudah alih atau sambungan Internet, tetapi bergantung pada keserasian peranti dan liputan rangkaian mudah alih.
Susulan pelancaran itu, ujian penerimaan amaran MySiren akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 29 November 2026, antara 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.
Orang ramai yang menerima notifikasi berlabel ujian sepanjang tempoh tersebut tidak perlu panik kerana ia merupakan sebahagian daripada pengujian sistem, bukannya amaran kecemasan sebenar.
Menjelang ujian berkenaan, pengguna turut disarankan memastikan peranti menggunakan versi sistem operasi yang ditetapkan serta mengaktifkan tetapan amaran kecemasan untuk menerima notifikasi MySiren.
Gambar utama: Facebook//Fahmi Fadzil


