Sejak kebelakangan ni, kes orang kena scam menerusi deepfake makin menjadi-jadi. Kalau dulu, scammer buat video palsu artis atau pempengaruh pun dah ramai yang percaya bulat-bulat. Sekarang pula, mereka dah naik taraf — siap boleh deepfake masa video call.
Bayangkan tiba-tiba mak ayah anda muncul dalam panggilan video, muka sama, suara pun sama, minta duit pula tu. Kalau tak hati-hati, boleh habis duit masuk akaun scammer.
Tapi, dengan hadirnya HONOR Magic7 Pro, nampaknya scammer kena cari cara baru untuk menipu. Kenapa? Sebab telefon ni ada AI Deepfake Detection pertama di dunia. Kira-kira 3 saat je, ia dah boleh kesan sama ada orang kat hujung sana tengah deepfake atau tidak.
Jadi, inilah dia HONOR Magic7 Pro – lengkap dengan pelbagai ciri AI, kamera periskop 200MP, dan macam-macam lagi kelebihan. Mari kita tengok satu persatu.
spesifikasi
[specs]
Cip: Snapdragon 8 Elite
Memori: 12GB/16GB RAM
Storan: 512GB/1TB UFS 4.0
Sistem Operasi: MagicOS 9, Android 15
Skrin: 6.8″ LTPO OLED WQHD+ 120Hz, 5000 nits
Kamera: 50MP lebar, 200MP periskop telefoto, 50MP ultra lebar, 50MP swafoto, 3D ToF
Bateri: 5,850mAh, pengecasan 100W berwayar, 80W wayarles
Kalis Air: IP68/69
Lain-lain: NFC, Dwi SIM, pemancar infra merah, imbasan cap jari ultra sonik
[/specs]
Rekaan dan skrin
HONOR Magic7 Pro didatangkan dalam warna Lunar Shadow Grey dengan kemasan tekstur marble. Nampak premium, lain daripada kebiasaan. Kalau sebelum ni, HONOR Magic6 Pro ada pilihan material kulit, kali ni HONOR beralih kepada kemasan lebih moden.
Dari segi rekaan kamera, kalau anda tengok rekaan HONOR Magic7 Pro ni, satu benda yang terus standout ialah bentuk dia yang ‘squircle shape’ — gabungan antara bentuk bulat dan petak. Rekaan ni bukan saja unik, tapi memang nampak moden dan premium bila dipegang.
![](https://wiserspace.sgp1.digitaloceanspaces.com/wp-content/uploads/2025/02/07164619/HONOR-Magic7-Pro-3.jpeg)
Tambah pula dengan modul kamera belakang yang simetri, susunan kamera nampak teratur dan minimalis. Namun, apa yang menonjol adalah bahagian sisi dan frame body telefon ini yang diperbuat daripada material jenis metal, dan nampak boxy memberikan ketahanan serta rasa premium di tangan.
Sisi skrin yang mempunyai sedikit lengkungan (slight curve) menjadikannya lebih elegan dan selesa untuk digunakan.
Satu lagi kelebihan yang menarik adalah selongsong (casing) yang disediakan oleh HONOR. Tidak seperti kebanyakan jenama lain yang hanya memberikan selongsong lut sinar biasa, casing yang diberikan terasa lebih berkualiti.
Cuma, yang buat tak bestnya adalah casing ni mudah sangat terkesan dengan kotoran, yang mungkin anda akan kerap sangat nak cuci atau lap.
Kualiti skrin memang cantik. Warna terang, kontras baik, dan lancar disebabkan 120Hz. Cahaya matahari terik pun tak jadi masalah sebab paras kecerahan boleh capai 5000 nits.
Untuk ketahanan pula, selain perlindungan NanoCrystal Glass Shield, dia juga kalis air dan debu IP68 & IP69. So kalau terkena hujan atau tumpahan air, korang masih boleh bernafas lega.
Skrin ni turut hadir dengan teknologi AI Eye Comfort, yang bertujuan kurangkan ketegangan mata. Bagi anda yang suka layan drama atau main game lama-lama, ciri ni memang berguna.
Prestasi
Dengan bateri sebesar 5850mAh (karbon-silikon), telefon ini boleh tahan sehari suntuk tanpa masalah. Kalau habis pun, pengecasan 100W cukup pantas. Yang paling best, pengecasan wayarles pun 80W — jarang jumpa kadar laju macam ni untuk pengecasan tanpa wayar.
Snapdragon 8 Elite jadi enjin utama, tapi HONOR tak berhenti kat situ. Ada lagi cip HONOR E2 yang bantu optimumkan penggunaan tenaga, supaya suhu telefon kekal sejuk walau korang lenjan main game lama-lama.
Selain itu, cip HONOR C2 bawa peningkatan yang ketara dalam kestabilan dan kelajuan sambungan rangkaian, mengatasi prestasi cip HONOR C1+ generasi sebelumnya untuk pengalaman sambungan yang lebih cemerlang.
Untuk kaki game tegar, gabungan cip Snapdragon 8 Elite dan GPU Adreno 830 memang sajikan prestasi mantap. Permainan berat macam Genshin Impact, War Thunder, atau game e-sukan pun lancar. Panas? Setakat main sejam dua, suhu fon masih terkawal hasil kecekapan cip E2.
Satu lagi ciri menonjol pada Magic7 Pro ialah kembalinya pengimbas cap jari ultrasonik. Proses setup cap jari kurang dari 5 saat – memang laju. Bila dah set, nak unlock pun cepat.
Telefon ini juga ada ciri Magic Avatar, membolehkan anda cipta avatar peribadi. Boleh dijadikan lock screen image atau live wallpaper, dengan pelbagai aksi berbeza. Sesiapa yang suka benda unik dan personal, anda pasti seronok main-main dengan fungsi ni.
Seperti terdahulu, telefon HONOR hadir dengan ciri Magic Portal. Menerusi Magic Portal 2.0, ia memudahkan kerja anda. rasanya, tidak perlu ulas panjang tentang ini kerana ia mirip Google Circle to Search.
Namun, fungsi ini dah dinaik taraf daripada versi Magic6 terdahulu, jadi sekarang lebih lancar dan menyokong lebih banyak aplikasi.
Kamera
Seperti biasa, HONOR Magic7 Pro masih tidak melupakan kemampuan kameranya. Kalau dulu lensa telefotonya 180MP, tahun ini ia dipertingkatkan lagi kepada 200MP.
Selain itu, untuk hasil yang terbaik, ia juga didatangkan dengan sejumlah fungsi kecerdasan buatan seperti:
- AI Super Zoom: Penggambaran jarak jauh kekal tajam
- AI Enhanced Portrait: Potret nampak cantik dan semula jadi
- AI Motion Sensing Capture: Tangkap subjek bergerak tanpa blur
- AI Deepfake Detection: Kesan deepfake masa panggilan video
- AI Eraser & Outpainting: Edit gambar (remove objek, outpainting, tukar background)
- AI Cutout: Senang keluarkan subjek daripada latar
- AI Notes & AI Translation: Untuk transkripsi, ringkasan, dan terjemah 14 bahasa
Kamera HONOR Magic7 Pro ni memang serba boleh, Kalau guna panjang fokal lebar, memang sesuai untuk ambil gambar pemandangan—semua masuk dalam frame, warna pun nampak hidup.
Bila zum sikit, perincian muka atau objek kecil tetap tajam, macam hasil gambar dalam studio. Paling best, bila guna telefoto, walaupun zum sampai 12x, kualiti masih kekal jelas. Tidak seperti Magic6 Pro tahun lalu.
Nak ambil gambar burung tengah terbang pun tak ada masalah, tetap stabil. Pendek kata, dari lebar ke telefoto, kamera ni memang boleh handle.
Macam mana pula dengan video?
Sebenarnya, hasil videonya pun memang tidak menjadi masalah. Ia masih mampu menawarkan kualiti rakaman yang cantik. Tetap boleh buat kaki vlogger.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, HONOR Magic7 Pro memang sebuah telefon all-in-one yang menggabungkan segala keperluan — daripada keselamatan AI Deepfake Detection, hinggalah kamera berkuasa 200MP. Nak guna untuk produktiviti atau gaming, memang tak mengecewakan.
Kameranya walaupun sudah ada peningkatan berbanding model sebelum ini, bagi saya ia masih belum dapat menandingi peranti vivo X200 Pro.
Dengan harga permulaan RM4,599, telefon berstatus andalan ini diikutkan masih dalam paras harga yang mampu dimiliki lagi. Ini kerana, jika dibandingkan dengan pesaingnya lain yang menggunakan cip sama, ia boleh dikatakan berbaloi.
Lebih-lebih lagi, HONOR juga hadir dengan ekosistem yang baik. Oleh itu, jika anda mahukan peranti andalan yang serba boleh, Magic7 Pro ini patut masuk dalam radar anda.
{suggest}