(Ulasan) DJI Osmo Action 3 - Kamera Dah Padu, Aplikasi Sokongan Je Lemah

DJI telah pun melancarkan kamera aksi terbaru mereka iaitu Osmo Action 3 dengan perkakasan yang dinaik taraf dari model terdahulunya.

Sebagai antara pemain utama kamera aksi dalam pasaran yang ada ketika ini, apa yang menjadikan Osmo Action 3 berbeza berbanding model-model kamera aksi dari jenama yang lain?

4K/120fps


Osmo Action 3 dilengkapi dengan sensor 12MP 1/1.7 di sebalik lensa 155° f/2.8 dengan ciri mod rakaman video tertinggi iaitu 4K/120fps (16:9).

Selain itu kamera aksi ini menerima naik taraf ciri penstabilan RockSteady 3.0 iaitu teknologi Penstabilan Imej Elektronik (EIS).

Kapsyen: Osmo Action 3 kini menggunakan sensor kamera 1/1.7-inch CMOS serta lensa FOV 155 darjah yang membolehkan ciri rakaman ultra lebar dibuat menerusi kamera aksi sekecil ini.

Rakam lebih 2 jam


Salah satu penambahbaikan paling ketara pada Osmo Action 3 ini adalah keupayaan baterinya yang dipertingkatkan di mana ia kini didatangkan dengan kapasiti 1,770mAh yang membolehkan rakaman dibuat sehingga selama 160 minit.

Jadi prestasi bateri bukanlah satu isu jika anda menjalankan aktiviti hiking atau mungkin anda rider yang gemar merakam aksi perjalanan bersama motorsikal anda yang jauh perjalanannya.


Saiz lebih besar


Dari segi rekaan, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara Osmo Action 3 berbanding model Osmo Action terdahulu.

Saiz Osmo Action 3 adalah lebih besar dan lebih berat tetapi masih mengekalkan saiz skrin sentuh hadapan dan belakang.

Menjadikan Osmo Action 3 rasa lebih solid apabila dipegang dan diyakini ketahanannya apabila menjalankan aktiviti lasak bersamanya.


Aksesori lebih baik


DJI melakukan perubahan besar pada rekaan aksesori Osmo Action 3 seiring dengan perubahan saiz kamera aksi ini.

Pelindung kerangka Osmo Action 3 kini lebih baik rekaannya di mana ia kini disambungkan dengan bantuan magnet yang diperkuatkan ikatan pengunci mudah tanggal.



Rekaan aksesori ini membolehkan Osmo Action 3 bukan sahaja boleh dirakam secara melintang tetapi juga secara menegak.

Sesuai bagi merakam video untuk hantaran pelbagai platform media sosial.


Kalis air


Jika anda sedang membuat rakaman dan tiba-tiba hujan atau pun terjatuh ke dalam sungai, anda tidak perlu bimbang kerana Osmo Action 3 tersedia kalis air sehingga 16m tanpa perlu aksesori tambahan pun.

Jadi, kalau tengah rakam ride moto dengan Action 3 tiba-tiba hujan, anda redah aje.

Aplikasi DJI Mimo


Osmo Action 3 turut disokong oleh aplikasi di telefon pintar yang dikenali sebagai DJI Mimo.



Menerusi aplikasi ini, anda boleh melakukan pelbagai perkara lain sebagai sokongan kepada Osmo Action 3 seperti akses antaramuka rakaman, menukar tetapan rakaman, preview video/foto.

Malah anda juga boleh membuat suntingan ringkas menerusi aplikasi ini dan terus eksportnya bagi simpan ke dalam storan peranti atau pun ke platform media sosial.



Malah ciri suntingan yang ada pada aplikasi ini juga dilengkapi ciri InvisiStick yang membolehkan batang pemegang kamera aksi ini tidak kelihatan.

Seolah-olah rakaman dibuat menggunakan dron.

Namun begitu, ciri tersebut agak melecehkan kerana bagi membolehkan ciri ini diaplikasikan pada rakaman video, ia perlu dimuat naik terelebih dahulu ke awan untuk diproses.

Kemudian video tersebut barulah boleh dilihat dan dieksport. Masalahnya proses tersebut mengambil masa yang tersangatlah lama lama. Bayangkan video yang hanya berdurasi 6 saat sahaja tetapi mengambil masa hampir 15 minit untuk ciri InvisiStick ini diaplikasikan.

Jadi ciri ini sangat melecehkan dan boleh dikatakan sebagai tidak releven sama skali.



Isu lain yang boleh dianggap menjengkelkan juga adalah aplikasi DJI Mimo versi Android perlu dimuat turun terus dari laman sesawang rasmi DJI kemudian barulah boleh dipasangkan ke dalam telefon pintar Android.

Ini kerana DJI Mimo tiada ditawarkan dalam Google Play Store kerana disekat Google daripada ditawarkan dalam stor mereka.

Walaubagaimanapun, aplikasi DJI Mimo versi iOS boleh dimuat turun terus dari App Store oleh pengguna iPhone.

Kapsyen: Kemas kini terbaru DJI Mimo menyatakan mereka telah menambah baik ciri InvisiStick.

Kesimpulan


Apa yang boleh disimpulkan bagi DJI Osmo Action 3 ini adalah, kualiti rakaman video dari kamera aksi terbaru ini begitu baik sekali.

Sensor kamera 1/1.7-inci CMOS nya memberikan kualiti warna yang terang dan kaya dengan tona warna.



Lensa yang dipertingkatkan juga sekaligus membolehkannya merakam dalam mod ultra lebar yang memberikan sudut rakaman yang lebih luas dari sebuah kamera yang kecil sebegini.

Begitu juga dengan kualiti rakaman video yang dibuat pada waktu malamnya juga adalah memuaskan.

Malah kualiti rakaman malam juga boleh ditambah baik lagi kerana ia menawarkan tetapan profesional bagi pengguna yang mahir mengawal Exposure, White Balace dan tetapan-tetapan lain-lain.


Pilih set kombo


DJI menawarkan Osmo Action 3 dalam pilihan 7 set kombo yang berharga serendah dari RM1,699 untuk pasaran tempatan, mengikut keperluan aktiviti lasak anda.

DJI Osmo Action 3 kini sudah pun boleh dibeli menerusi stor rasmi DJI di Lazada atau Shopee.

{suggest}